Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin menyertai umat Islam seluruh dunia memuji kepimpinan kerajaan Turki di bawah presidennya Reccip Tayyib Erdogan yang menunjukkan kepimpinannya yang hebat terutama dalam isu Mesir dan Rohingya.
Isteri pemimpinnya juga mempamerkan nilaian diri seorang muslimah dan isteri pemimpin yang tinggi, tulis Asri dalam facebooknya yang kini menjadi viral dalam laman sosial apabila tulisan itu sudah dikongsikan 3,603 ketika tulisan ini dibuat.
"Beliau tidak mencari 'gah' dengan bergaya mewah seperti isteri beberapa pemimpin umat Islam dalam dunia ini," tulis Asri dalam facebook beliau ketika umat Islam bersedih dengan apa yang berlaku kepada umat Islam Rohingya yang menjadi mangsa keganasan di negaranya Myanmar dan kini mencari tempat berlindung.
Ketika beberapa negara jirannya mengambil sikap menghalau mereka pada awalnya, Turki diberitakan menghantar kapal tenteranya ke perairan Asia Tenggara untuk mengiringi bot malang yang sarat dengan manusia ini ke negara mereka berhampiran Eropah sana.
Perdana menterinya, Ahmet Davutoğlu (bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa) menyambut umat Islam yang malang ini manakala isteri presidennya, Amine turut ke Myanmar bagi menemui mereka.
"Hari ini kepimpinan Perdana Menteri Turki dalam Dunia Islam amat terserlah. Sikap prihatin beliau dan negaranya terhadap isu-isu Umat Islam amat membanggakan," tulis Asri.
Bagi Asri, pemimpin Turki tidak melaungkan slogan Islam sekadar berpolitik, ataupun sibuk menjenamakan politik Islam ataupun negara Islam dalam gerakannya.
"Sebaliknya, nilai dalaman seorang umat Islam yang ada dalam dirinya mencorakkan politik kepimpinannya. Etika Islam dalam berpolitik itu lebih bermakna daripada memberikan jenama Islam kepada politik," tulisnya.
Menurut Asri, umat Islam bangga dengan kepimpinan Turki yang sedia ada bukan kerana gaya mewah mereka, tetapi kerana etika dan nilai kepimpinan yang ada pada mereka.
"Marilah kita berdoa agar Allah menguatkan Turki dan memuliakan mereka," tulis Asri.
Turki diperintah oleh parti AK (Justice and Development Party) pimpinan Erdogan sejak 2002 lalu apabila mereka menang buat pertama kalinya di negara yang menanamkan fahaman sekular sejak kejatuhan khalifah Othmaniah.
Sejak itu, Erdogan berjaya mengubah Turki dari sebuah negara yang digelar “negara sakit Eropah” kepada kuasa ekonomi dunia apabila menduduki tangga ke-16 kuasa ekonomi dunia beberapa tahun lalu.
Pendapatannya berlebihan (surplus) sebanyak AS$40 bilion setahun tahun ini menyebabkan mereka mampu menanggung puluhan ribu pelarian dari negara bergolak Syria yang kini menumpang di negara mereka.
Pada awal tahun 2008 ketika kumpulan progresif dan konservatif dalam PAS bertembung, kumpulan profesional dalam PAS ini digelar kumpulan Erdogan sempena nama presiden Turki itu kerana pendekatan mereka yang sederhana dan moderat dan didakwa tidak islamik.
Namun sejak kejayaan demi kejayaan ditunjukkan Erdogan dalam membangunkan negaranya, kumpulan ini tidak dinamakan Erdogan lagi oleh saingannya dalam PAS tetapi Anwarinas, parasit, liberal, anai-anai, barua, jebon, tolol dan sebagainya.
Sebagaimana pertermbungan dalam PAS, Erdogan sendiri bertembung dengan kumpulan konservatif dalam parti asalnya iaitu Refah pimpinan Necmetin Erbakan. Erdogan menubuhkan AKP manakala penyokong Erbakan menubuhkan Saadet.
Ketika berkunjung ke Turki, kumpulan profesional yang menyokong Erdogan dalam PAS akan menemui pemimpin AKP manakala kumpulan pro-ulama yang menyokong Erbakan akan menemui pemimpin Saadet di Turki.
7 Jun ini, Turki akan mengadakan pilihan raya sekali lagi bagi memilih kepimpinannya.
Sebanyak 550 kerusi parlimen akan direbut oleh calon pilihanraya dari pelbagai parti dan bagi AKP pilihanraya ini adalah permulaan separuh masa kedua dalam meneruskan khidmat cemerlangnya menuju wawasan 2023 yang ditetapkan Erdogan.
AKP menyasarkan kemenangan 2/3 dalam pilihan raya ini bagi membolehkan mereka mempunyai kuasa penuh dalam parlimen.
Ketika AKP menyasar kemenangan 2/3, parti Saadet sudah tidak layak berada dalam parlimen kerana mendapat undi kurang dari 10% kerana ditolak oleh rakyat Turki sendiri.
Inilah yang hangat dibincangkan dalam PAS sekarang menjelang Muktamar PAS ke 61 awal Jun ini apabila kumpulan progresif atau profesionalnya akan bertembung dengan kumpulan konservatif atau pro ulamanya.
Ia menjadi perbincangan hangat dalam laman-laman sosial yang kini menjadi medan serang menyerang antara kedua-dua kumpulan ini.
"Puak PAS tak suka Erdorgan sebab dia orang lebih sokong Erbakan yang perjuangan dia orang macam PAS kat Malaysialah kononnya," tulis Teuku Zacharyah Iskandar dalam laman sosial ketika berdebat dengan penyokong kepimpinan ulama.
Namun berdasarkan pencalonan kawasan-kawasan seluruh negara, kumpulan yang dikatakan Erdorgan ini bakal dibersihkan dari PAS dalam muktamar akan datang.
Apakah kejayaan pendekatan yang ditunjukkan AKP di Turki sekarang bakal mempengaruhi pemilihan dalam PAS Jun nanti atau perwakilan dalam PAS nanti hanya memilih berdasarkan sentimen semata-mata. Kita tunggu. – 25 Mei, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments