Opinion

Bertemu dengan ‘Propagandis Zaman’

Tanggal 28 Julai ini genap 73 tahun usia Subky Latif, penulis profilik yang dimiliki oleh Malaysia. 

Beliau tidak pernah ingat berapakah jumlah buku yang dihasilkannya, namun yang pasti lebih 20 naskhah, katanya.

Yang terbaru ialah buku tebal (629 muka surat), Propagandis Zaman, yang menceritakan pengalaman beliau sebagai penulis dan wartawan termasuk 11 tahun di Kumpulan Utusan Melayu.

"Saya harap dalam sebulan lagi, siaplah buku terbaru saya," kata Subky ketika ditemui oleh The Malaysian Insider pagi ini di rumahnya di Taman Karak Utama, dekat Gombak.

Ketika dicari di sebuah kedai buku Jalan Pahang yang banyak mengedarkan buku-buku tulisannya, hanya senaskhah buku Propagandis Zaman yang tinggal.

"Abang nasib baik. Tinggal satu sahaja lagi buku ini," kata Apandi, pembantu kedai buku berkenaan.

Propagandis Zaman adalah buku yang mencatatkan tentang pengalaman Subky selaku penulis dan wartawan di Utusan Melayu.

Bab pertama buku ini bertajuk '16 September 1963', satu tarikh keramat untuk Malaysia. Ia tarikh pembentukan Malaysia dan hari itulah Subky ditemu duga di pejabat Utusan Melayu.

Pada hari itu juga, beliau diterima bekerja di Utusan dan menyertai program latihan enam bulan sebagai wartawan anjuran bersama syarikat media di Malaysia ketika itu, Kementerian Penerangan dan beberapa jabatan lain.

"Saya mungkin sudah lupa tarikh saya diterima menjadi warga atau pekerja Utusan Melayu kalau bukan tarikh itu serentak dengan tarikh pembentukan Malaysia," tulis Subky dalam bukunya itu.

Kelebihan Subky ialah keupayaannya mengingati dan mencatat kembali perkembangan Malaysia yang dilaluinya sebagai seorang wartawan besar.

Menurut Subky, beliau masuk Utusan lewat setahun dari Tan Sri Zainudin Maidin, bekas Ketua Pengarang Utusan yang dianggap paling lama menyandang jawatan itu.

Utusan pada masa ini berdepan cabaran yang besar. Media yang dilabel lidah rasmi Umno itu kera kali kalah apabila disaman pelbagai pihak.

Terbaru, Utusan diarah membayar RM250,000 kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin setelah disaman Nizar.

Sebelum itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ramai lagi menang kes masing-masing terhadap Utusan.

"Memang Utusan macam itu sejak dahulu," kata Subky. Dulu, katanya, ada seorang wartawan Utusan di Kelantan yang sentiasa buat berita tanpa pengesahan terlebih dahulu. Dia orang Umno tetapi malas pergi ke mana-mana cari berita. 

Apabila ada orang-orang Umno cerita memburuk-burukkan kerajaan PAS Kelantan ketika itu, wartawan itu pun menulis berita.

"Datuk Asri Muda yang jadi MB Kelantan ketika itu selalulah saman Utusan kerana berita dia ini," kata Subky.

Melalui Propagandis Zaman, Subky mencatatkan pelbagai pengalaman beliau sebagai wartawan. Semuanya khazanah penting untuk negara. Buku itu adalah siri kedua catatan beliau selepas buku pertama, Anak Apak.

Dalam buku ketiga yang sedang disiapkan, Subky mencatatkan pula pengalaman politik beliau. Bagi Subky, kerja wartawan sama dengan tugas yang pernah dimainkan Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain.

"Bukhari tidak menamakan dirinya pemberita dan wartawan tetapi pekerjaan yang dilakukannya adalah pekerjaan yang ditangani oleh sekalian yang bernama wartawan," tulis Subky.

Subky menyertai PAS dan pernah menjadi AJK PAS Pusat dari 1983 hingga 2006. Beliau pernah menjadi calon pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang tetapi kalah. Beliau juga ada menghasilkan buku 'Anak Jawa Pelabuhan Klang'.

Kini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang. Abdul Khalid menang dengan majoriti 2,994 dalam pilihan raya itu.

Subky mempunyai hubungan peribadi yang istimewa dengan Khalid. Beliau mengetahui semua hal mengenai perkahwinan Khalid dengan isterinya sekarang, Puan Seri Salbiah Tunut.

Ikuti bahagian kedua tulisan ini. - 11 Julai, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments