Opinion

Gaji lima angka, pinjaman motor pun ditolak bank

"Maaf encik, permohonan pinjaman encik untuk membeli motosikal tidak dapat diluluskan."

Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga saya beberapa bulan lalu. Walaupun gaji sudah lima angka tetapi pinjaman beli motor pun tidak lulus.

Semuanya gara-gara komitmen perbelanjaan yang tinggi. Selepas panggilan telefon itulah baru saya tersedar duit gaji sudah tidak cukup lagi.

"Padanlah belum hujung bulan gaji sudah habis," kata saya kepada isteri apabila kami berbincang mengenai kenaikan kos sara hidup sejak kebelakangan ini.

Saya teringat bagaimana laporan The Malaysian Insider sebelum ini tentang sepasang suami isteri yang tinggal di Pulau Pinang mengadu walaupun gajinya bersama suami RM12,000 sebulan tetapi masih tidak cukup untuk menampung keperluan hidup seharian mereka.

Mereka terpaksa berkira untuk berbelanja sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun gaji mereka sudah agak besar.

Semuanya gara-gara kenaikan kos sara hidup yang dihadapi rakyat Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Walaupun pendapatan mereka meningkat tetapi ia tidak selari dengan kenaikan mendadak kos sara hidup.

Saya masih ingat lagi ketika kami baru pindah ke Selangor dari Kuala Lumpur kira-kira 15 tahun lalu.

Ketika itu seingat saya, bil elektrik dan bil air rumah kami hampir sama saja iaitu kira-kira RM50 sebulan.

Alhamdulillah, beberapa tahun selepas kerajaan Selangor berjaya ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat, kami tidak perlu membayar bil air lagi.

Kadang-kadang saja perlu dibayar. Itupun sekitar RM5-RM6 sahaja sebulan.

Namun ia berbeza sekali dengan bil elektrik. Kalau 15 tahun dulu sekitar RM50 sahaja sebulan, kini bilnya sudah melonjak kepada RM230 ke RM250 sebulan.

Selari dengan kenaikan bil elektrik juga meningkatnya kos sara hidup yang lain. Kalau dulu RM50 cukup untuk membeli barangan dapur di pasaraya, kini RM200 belum tentu cukup lagi untuk membeli barangan yang sama.

Saya ingat lagi, 10 tahun dulu saya memberi RM800 saja sebulan untuk belanja dapur dan membayar bil kepada isteri tetapi kini RM1,500 sudah tidak cukup lagi. Ia hanya untuk belanja dapur saja, saya sendiri terpaksa keluarkan wang lain untuk bayar bil.

Dengan pendapatan lima angka sekarang, saya terasa betapa peritnya untuk hidup di ibu negara. Sebab itu apabila anak memberitahu pinjaman PTPTN beliau tidak diluluskan kerana gaji ayahnya, saya menjadi marah.

Bagaimana pula dengan mereka yang berpendapatan bawah RM5,000 sebulan di Kuala Lumpur? Bagaimana dengan polis, pegawai kastam atau penguatkuasa DBKL yang berpangkat rendah?

Ketika kenaikan kos yang bertalu-talu inilah kerajaan akan melaksanakan cukai GST tahun depan. Apakah mereka akan berdiam diri? Tunggu. – 21 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments