Opinion

Ku Li: Mencari jalan tengah

2 OKT — Mati sahaja Adun Galas, Chek Hashim Sulaima baru-baru ini, BN tanpa tunggu-tunggu telah melantik anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya itu.

Perlantikan ini satu sejarah penting dalam pilihan raya kecil di negara ini khasnya di pihak BN. Ini kerana, timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin yang biasanya menjadi pengarah pilihan raya BN dalam mana-mana pilihan raya kecil sebelum ini. (Ada juga yang kaitkan Muhyidin tidak mahu kerana banyak janji BN dalam pilihan raya Manik Urai yang bersebelahan dengan Galas masih belum tertunai)

Ekoran itu, pelbagai pandangan dan analisa di berikan terhadap keputusan BN itu. Akhbar politik Siasah menjadikan tajuk muka depannya cerita ini. Ini kerana, bagi Siasah, sudah tentu pihak yang paling dalam dilema dalam mengharungi pilihan raya kecil ini adalah Ku Li sendiri.

Isu besar yang bakal dimainkan oleh PAS di Galas adalah isu royalti petroleum yang dituntut oleh kerajaan negeri Kelantan dari Petronas. Dari tidak ada hasil minyak sehinggalah pengakuan adanya hasil dan seterusnya sumbangan RM20 juta wang ehsan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan di Kelantan. Isu ini benar-benar menjadi isu penting rakyat Kelantan.

Ku Li dengan jelas menyokong PAS kerajaan negeri Kelantan dalam isu ini. Kini, selepas dilantik sebagai pengarah, apakah sikap beliau? Menurut sebuah akhbar, Ku Li yang kini masih berada di luar negeri berjanji akan menolong memenangkan calon BN dalam pilihan raya ini.

Abdul Fatah Haron, pengarah pilihan raya PAS Kelantan dalam kenyataannya berkata, Ku Li sepatutnya tidak mengambil sikap atau memihak dalam pilihan raya ini untuk menjaga kredibilitinya sebagai seorang negarawan. Paling baik, low profile, kata Fatah sebagaimana dipetik oleh akhbar dalam talian, Harakahdaily.

Seorang pensyarah pula berkata, peluang untuk BN menang semakin kurang selepas melantik Ku Li sebagai pengarah. Ini kerana, Ku Li jelas mempunyai hubungan baik dengan PAS dan sudah tentu hubungan ini akan menyebabkan beliau tidak sepenuh hati berusaha untuk memenangkan calon BN dalam pilihan raya ini.

BN pula dipercayai cuba mengikat Ku Li dengan perlantikan ini. BN tahu, kalau Ku Li tidak bersama dengannya, peluang untuk memenangkan calon BN amat tipis dalam pilihan raya ini.

Seingat penulis, Ku Li adalah anggota Parlimen Gua Musang. Siapa anggota parlimen itu sebelum beliau tidak diingati. PAS pernah memberikan pertandingan yang sengit melawan Ku Li di Gua Musang. Namun, sehingga kini belum pernah berjaya mengalahkan bapa saudara kepada bekas Raja Perempuan Kelantan yang kini kalah dalam perebutan kuasa di Istana Kelantan itu.

Galas adalah salah satu dari tiga Dun di bawah parlimen Gua Musang. Dua lagi adalah Nenggiri dan Paloh yang dimenangi kedua-duanya oleh calon BN dalam pilihan raya umum 2008 lalu. Galas adalah satu-satunya kawasan yang dimenangi PAS dalam pilihan raya umum itu di sini.

Dalam pilihan raya itu, Che Hashim mendapat 4,399 manakala calon BN yang merupakan bekas Adun kawasan itu, Mohamad Saufi Deraman mendapat 3753. Che Hashim menang dengan majoriti 646 undi. Ku Li pula menang di parlimen Gua Musang mengalahkan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad dengan majoriti 4,394 undi.

Kemenangan di Galas buat pertama kalinya dalam sejarah pilihan raya di Kelantan oleh PAS adalah kerana faktor undi Cina yang beralih angin kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya 2008 lalu. Ini kerana, Galas yang meliputi kawasan bandar Gua Musang mempunyai 24 peratus atau 2,480 pengundi Cina selain 1.68 peratus India di samping 6.21 peratus adalah orang Asli. Pengundi Melayu di sini hanya 68.1 peratus dari 10, 330 pengundi itu, antara peratusan pengundi Melayu yang rendah di Kelantan.

Kini, Ku Li menghadapi dilema. Beliau sebelum ini dengan jelas melahirkan pandangan yang berbeza dengan pucuk kepimpinan Umno dalam banyak isu. Tiba-tiba mereka melantik beliau sebagai pengarah pilihan raya ini.

Ada beberapa pendekatan yang boleh diambil Ku Li. Antaranya bekerja bersungguh-sungguh bagi memenangkan calon BN. Kalau menang, beliau akan dilihat sebagai hero di kalangan ahli Umno dan bakal kembali ke persada Umno dengan penuh wibawa.

Namun, bila ini berlaku, nama beliau di kalangan pihak yang tidak berpuashati dengan BN sekarang akan pudar. Bahkan akan dituduh sebagai cakap hanya untuk kepentingan politik dan akan digelarkan pelbagai gelaran buruk lagi. Tambahan lagi ketika ini nama BN amat buruk.

Pendekatan kedua, menolak tawaran BN itu. Jika ini dibuat beliau, nescaya berkerat rotan berpatah aranglah beliau dengan Umno sekali lagi selepas krisis dengan Tun Dr Mahathir dahulu yang melahirkan Semangat 46. Ku Li dipercayai masih belum bersedia dengan pendekatan ini.

Jika begitu, Ku Li perlu mencari jalan tengah. Jalan tengah terbaik sebagaimana pandangan Fatah Haron adalah low profile...serahkan urusan pilihan raya ini kepada pihak lain dan beliau hanya menjadi pemerhati dari dekat sahaja.

Namun semuanya bakal serba salah untuk Ku Li dan menjadikan pilihan raya ini benar-benar menyesakkan nafas beliau.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments