Opinion

Laman porno disekat di Turki tetapi bebas di Malaysia

Ciri-ciri Islam dan Kristian bergabung dalam Aya Sophia yang dahulunya gereja, kemudian dijadikan masjid dan kini menjadi muzium yang menjadi tarikan ramai di Istanbul.Ciri-ciri Islam dan Kristian bergabung dalam Aya Sophia yang dahulunya gereja, kemudian dijadikan masjid dan kini menjadi muzium yang menjadi tarikan ramai di Istanbul.Turki, walaupun diisytiharkan sebagai sebuah negara sekular tetapi sesiapa sahaja tidak dibenarkan melawat sebarang lucah atau porno di negara itu.

Ia jauh berbeza dengan Malaysia, walaupun dikatakan sebuah negara Islam tetapi sesiapa saja hatta kanak-kanak bebas melayari mana-mana laman lucah sama ada melalui komputer atau telefon bimbit masing-masing.

Di mana-mana sahaja di bandar utama Malaysia, orang boleh lihat dengan jelas pusat-pusat hiburan berunsur seks seperti rumah urut yang berselindung di sebalik urut refleksologi dipaparkan melalui papan-papan iklannya.

Tetapi di Istanbul, kota pelancongan ketiga terbesar di dunia selepas New York dan Paris, ia juga ada tetapi tersembunyi daripada pandangan umum.

Sekurang-kurang inilah yang boleh dicatatkan selepas lima hari tiga malam menziarahi kota Istanbul buat kali ketiga baru-baru ini.

Pemandu pelancong kami, Ahmed ketika ditanya, apakah pusat tarikan waktu malam yang boleh kami kunjungi berkata, "Ada tetapi tidak sesuai untuk kumpulan pelancong umrah seperti anda."

Ia bermakna, tempat sebegitu ada tetapi ia tidak terdedah sebagaimana di Kuala Lumpur, Ipoh atau Pulau Pinang.

Istanbul 15 tahun lalu ketika saya kunjungi buat pertama kalinya bagi mengucapkan tahniah kepada Raccip Tayyeb Erdorgan yang partinya AKP buat pertama kali menang pada tahun 2002 sudah jauh berbeza dari segi prasarana dan ekonominya.

Dulu sesampai saja di Turki, kami sudah menjadi jutawan kerana mata wang Lira Turki yang besar angkanya. Antara langkah awal yang dibuat AKP selepas menang adalah membuang enam '0' pada mata wangnya menjadi ketika itu RM1 hampir sama dengan TL1 sahaja.

Namun kini, nilai Lira Turki sudah dua kali ganda berbanding ringgit yang tidak ada tempat di Turki (tidak diterima di pusat tukaran wang asing) namun pemandu pelancong kami yang berkahwin dengan orang Subang Jaya, Selangor itu sedia menukarnya dengan kadar RM2 dengan TL1, yang bermakna RM1 kini sudah sama dengan 50 sen wang Turki sahaja.

"Saya boleh gunakan duit itu bila ke rumah isteri saya di Malaysia," kata Ahmed ketika cuba membantu kami untuk menukar wang Malaysia.

Ahmad bukan penyokong Presiden Erdorgan atau partinya AKP. Beliau sangat benci kepada Erdorgan kerana bagi beliau Erdorgan adalah pencuri apabila anaknya banyak mendapat manafaat perniagaan di Turki sekarang ini ketika bapanya berkuasa.

Namun Ahmed tidak menolak kebaikan yang diperoleh selepas AKP memerintah Turki.

"Itu Metrobas. ,Pengangkutan awam paling cekap di Turki," kata Ahmed sambil menunjukkan kepada bas yang bergerak laju di tengah-tengah antara dua laluan yang sibuk di tengah bandaraya Istanbul.

"Trem itu pun datang selepas Erdorgan," kata Ahmed lagi merujuk kepada sistem keretapi yang landasannya dibina dicelah-celah laluan sibuk kota Istanbul. Jambatan ketiga yang merentasi Selat Bosphorus yang memisahkan bahagia Asia dan Eropah Istanbul juga sedang dalam pembinaan untuk mengurangkan kesesakan di dua jambatan yang ada sekarang.

Selain itu, kata Ahmed, Erdorgan berjaya membina banyak rumah rakyat yang selama ini tidak pernah dimimpikan oleh mereka untuk memiliki rumah sendiri. Ia dibina berdasarkan sewa yang akhirnya akan dimiliki oleh mereka.

"Ekonomi kami juga kompetitif berbanding ekonomi dunia dengan mata wang kami yang kukuh walaupun tidak setinggi negara Eropah.

"Saya tidak nafikan itu jasa Erdorgan tetapi saya tetap tidak menyokong dia," katanya kepada kami yang juga turut menceritanya salah faham orang Malaysia terhadap Mustapha Kamal Atarturk, orang yang dinamakan sebagai Bapa Moden Turki.

Ahmed jelas sangat membela Atarturk dan menyifatkan Atarturk berjaya membebaskan Turki daripada enam penjajah selepas kalah bersama Jerman dalam perang dunia pertama dahulu.

Erdorgan jelas tidak senang dengan Atarturk. Terbaru, Presiden Turki itu membuang gambar Atarturk yang menjadi penghias pejabatnya dan digantikan dengan gambar Sultan Mehmet II atau Muhamad Al Fateh yang berjaya membuka kota Contantinople daripada kuasa Kristian ketika itu dan ditukarkan kepada Islambul dan kemudiannya menjadi Istanbul sekarang.

Berdasarkan penerangan Ahmed ketika membawa kami melawat Tokkapi Palace dan Aya Sophia, beliau dengan jelas menerangkan kemewahan hidup para Khalifah Othmaniah sebelum kejatuhannya.

Di sebalik itu, sejarah Aya Sophia membuktikan keterbukaan pemimpin Islam dahulu untuk menerima kehidupan bersama agama lain iaitu Kristian. Inilah rupanya antara ciri-ciri pemimpin yang berjaya.

Aya Sophia yang asalnya sebuah gereja ditukar menjadi masjid selepas Islam di bawah Khalifah Othmaniah berjaya membuka kota Constantinople itu.

Namun apa yang dibuat oleh khalifah Islam ketika itu adalah menukar arah kiblatnya sahaja dari Jurusalem kepada Mekah tanpa mengubah perkara-perkara lain yang termaktub dalam masjid itu termasuk gambar Nabi Isa, ibunya Siti Maryam, lambang salib pada siling serta dindingnya dan lain-lain.

Teringat saya kepada umat Islam di Malaysia yang terlalu fobia dengan salib sehingga bertemu sahaja arca yang bersilang dikatakan salib atau usaha untuk memasukkan unsur Kristian.

Kini Erdorgan mahu Turki mengingat kembali zaman kegemilangan mereka iaitu ketika diperintah oleh Khalifah Othmaniah. Ketika itu Turki adalah kuasa dunia.

Di samping kekuatan ekonomi yang diusahakan Erdogan, beliau juga mahukan Islam kembali di Turki dan membuang pengaruh Atarturk perlahan-lahan. Beliau sudah tentu berhadapan dengan tentangan yang kuat dari sebahagian rakyatnya termasuk Ahmed.

Namun Ahmed berkata, Erdorgan terlalu berkuasa sekarang. Apa saja kehendaknya akan berjaya dilakukannya.

Asal usul Islam yang masih kuat dalam jiwa rakyat Turki, walaupun ramai antara mereka tidak bersembahyang lagi, juga memberikan kekuatan kepada Erdogan.

Mungkin asas inilah yang menyebabkan kerajaan Turki walaupun mendakwa negara mereka sekular dengan mudah dapat menguatkuasakan larangan agar pengguna internet di negara itu tidak dapat mengunjungi laman lucah sebagaimana umat Islam di Malaysia yang bebas berbuat demikian. – 15 Januari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments