Ketika orang politik mempunyai pelbagai pandangan terhadap Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ismail Ali atau lebih dikenali Pak Wel Janggut mengatakan bekas menteri besar Kelantan itu adalah seorang yang tegas dan anti rokok.
"Dia paling anti orang hisap rokok. Kalau dia bau asap rokok saja ketika mahu memberi kuliah atau sedang berkuliah, dia akan berhenti sehinggalah orang tu tidak merokok lagi," kata Pak Wel, 69 tahun, yang menjadi pengawal keselamatan sukarela untuk Nik Aziz secara percuma.
Pernah satu hari itu, kata Pak Wel, ketika Nik Aziz mahu mengajar di Dewan Zulkifli Mohamad, Bangunan PAS Kelantan, orang tertanya-tanya megapa kuliah belum dimulakan lagi sedangkan mursyidul am PAS itu sudah lama naik ke atas pentas.
"Rupanya Tok Guru sedang marah. Dia terbau asap rokok. Jadi bila saya sedar hal ini, saya cari orang yang hisap rokok tu dan ambil rokoknya dan terus buang.
"Selepas habis bau asap rokok itu baru Tok Guru mula kuliah," cerita Pak Wel ketika bersama-sama menaiki bas yang disediakan oleh kerajaan negeri Kelantan untuk ke Pulau Melaka bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Nik Aziz.
Ketika hayatnya, Nik Aziz menjadikan kuliah Jumaat di Dewan Zulkefli Mohamad sebagai rutinnya. Ketika awal pulang dari luar negara, beliau mengajar di Masjid Muhammadi, Kota Baru.
Namun selepas PAS ditendang keluar Barisan Nasional (BN), beliau dihalang mengajar di masjid negeri.
Sejak itulah Nik Aziz mula mengajar di Dewan Zulkelfli Mohamad sehinggalah beliau sakit dan tidak mampu berbuat demikian lagi.
Selepas Nik Aziz menghembuskan nafasnya yang terakhir, Jalan di sekitar Kota Jembal dan Pulau Melaka, tempat terletak rumahnya penuh sesak dengan manusia.
Untuk memudahkan pergerakan, kerajaan negeri menyediakan bas percuma dari Stadium Sultan Mohamad, Kota Baru untuk ke Pulau Melaka.
Pak Wel juga meletakkan keretanya di stadium dan menaiki bas yang disediakan itu.
Sesampai di simpang jalan menuju ke rumah Nik Aziz, kami diturunkan. Dari situlah kami berjalan beramai-ramai menuju ke rumah ulama PAS berpengaruh itu.
Bagi Pak Wel, Nik Aziz sangat anti kepada rokok. Ramai pemimpin PAS yang merokok akan memadamkan segera rokok yang mereka hisap jika ternampak Nik Aziz.
Ada juga yang sanggup memegang api rokok itu sehingga padam kerana takut dilihat Nik Aziz mereka merokok.
Seorang lagi pemimpin yang anti kepada rokok adalah Allahyarhamah Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali, bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat dan juga bekas ahli Parlimen Titiwangsa.
Kedua-dua mereka meninggal akibat kanser. Nik Aziz meninggal selepas sekian lama mengidap kanser prostat ketika usianya 84 tahun.
Dr Lo' Lo' meninggal dunia pada jam 10.00 malam 17 Julai 2011 di Hospital Selayang ketika berusia 54 tahun.
Usul pertama yang dibuat Dr Lo' Lo' di Parlimen adalah tentang bahaya rokok. Ucapan awal beliau dalam mesyuarat AJK PAS Pusat juga tentang rokok.
Kini kedua-dua pemimpin PAS yang anti rokok ini sudah tiada. Walaupun mereka sudah tiada, kedua-duanya berjaya menjadikan anti rokok satu budaya dalam PAS.
Bahkan, mana-mana pemimpin yang merokok tidak akan dipilih menjadi calon pilihan raya kecuali terdesak! Al-Fatihah buat kedua-duanya... – 17 Februari 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments