Opinion

Siapa di balik pertemuan lewat malam MB Selangor dan PAS

Siapa sebenarnya yang mengatur pertemuan lewat malam antara Presiden dan Setiausaha Agung PAS dengan Menteri Besar Selangor lewat malam 11 Julai lalu kini menjadi tanda tanya.

Ini kerana pertemuan itu dimanipulasikan sedemikian rupa dan semacam diatur khas untuk memenuhi agenda pihak-pihak yang berkenaan.

Ia seolah-olah mahu menunjukkan Tan Sri Khalid Ibrahim mendapat sokongan padu pucuk pimpinan PAS dalam krisis yang berlaku di Selangor sekarang.

Pada 10.36 malam 12 Julai, laman Facebook Khalid, Menteri Besar Selangor memuatnaik sekeping gambar dengan tulisan "Berbual santai bersama Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali semalam."

Ia kemudiannya disusuli dengan Facebook Che'gu Bard atau Badrul Hisham Shahrin, aktivis PKR dari Negeri Sembilan yang juga aktivis Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang memuatnaik gambar pertemuan yang sama, tetapi dengan keterangan gambar yang sudah nampak lain.

Che'gu Bard bertanya, mengapa pertemuan tiba-tiba ini dan di tengah malam pula.

"Macam-macam cerita muncul... adakah berkaitan tekanan mutakhir ini dan TSKI akan masuk PAS? Politik ini seni seribu kemungkinan... emm," tulis beliau dalam Facebooknya.

Ekoran itulah pelbagai pihak mula membuat komen dan Khalid terpaksa menafikan beliau akan masuk PAS.

"Saya bergambar dengan perdana menteri, selepas itu dengan (Ketua Umum PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan malam tadi bergambar dengan presiden PAS. Kalau berasaskan gambar saya, banyak parti sudah saya masuk," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Selangor untuk Sukma 2014 di Shah Alam sehari selepas itu.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali juga terpaksa membuat penafian yang sama melalui Sinar Harian.

Mustafa menegaskan pertemuan yang berlangsung lewat malam tadi bersama Presiden PAS Pusat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hanyalah satu perjumpaan biasa yang diadakan pada bulan Ramadan.

Tegas beliau, ketiga-tiga pemimpin langsung tidak menyentuh berkenaan dengan isu politik atau parti masing-masing sepanjang masa pertemuan tersebut berlangsung.

“Itu hanya pertemuan biasa yang berlaku di kalangan pemimpin. Kami sudah lama tidak berjumpa, jadi selepas masing-masing menunaikan ibadah terawih, kami ambil kesempatan untuk berkumpul dan bersembang santai,” katanya ketika sebagaimana dilaporkan Sinar Harian Online 13 Julai.

Mengulas mengenai dakwaan perbincangan tersebut diadakan kerana Khalid mungkin akan menyertai PAS, beliau berkata ia sesuatu keputusan yang mustahil dan tidak akan diterima oleh kedua belah pihak.

“Dia menteri besar di PKR, PAS tidak akan terima dia menyertai parti. Perkara sedemikian tidak berbangkit langsung dalam perjumpaan kami malam tadi,” sangkalnya.

Itu apa yang dilaporkan secara terbuka oleh media. Namun yang lebih menarik adalah bagaimana pertemuan lewat malam itu boleh berlaku.

Ia bermula dengan Datuk Mustafa Ali menerima satu panggilan telefon daripada rakannya yang memaklumkan Khalid mahu bertemu dengan beliau.

Namun ia tidak mendapat respon dari Mustafa kerana kalau ia datang daripada Khalid, mengapa perlu dimaklumkan oleh orang tengah.

Namun dua tiga hari selepas itu, anak Mustafa sendiri menghubunginya memaklumkan Khalid mahu bertemu dengan pucuk pimpinan PAS.

Sekali lagi Mustafa keliru, kalau Khalid mahu bertemu mengapa tidak daripada pejabat Khalid sendiri sebagaimana biasa.

Ekoran itu Mustafa meminta anaknya meminta orang yang berkata itu menghubungi beliau sendiri.

Ketika itulah baru ia semacam menjadi rasmi... pejabat Khalid menghubungi pejabat PAS... lalu berlakulah pertemuan lewat malam itu di kediaman peribadi Khalid.

Ketika itu Khalid baru selesai menyertai majlis berbuka dan solat terawih dengan Tuanku Sultan Selangor.

Pertemuan itu benar-benar menjadi pertemuan santai antara Khalid, Mustafa serta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan disertai sama oleh Raja Idris Raja Kamarudin, Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor.

Tidak ada agenda khusus samada dari Khalid yang dikatakan mahukan pertemuan itu diadakan atau Abdul Hadi yang menyertai pertemuan itu dari pihak pimpinan PAS.

Hanya yang menarik adalah ketika pertemuan santai dan tertutup itu ada gambar diambil dan kemudiannya dimasukkan ke dalam Facebook Khalid sendiri.

Setelah tersiar gambar itulah baru ramai yang berada di keliling pucuk pimpinan PAS yang terlibat dalam pertemuan itu sedar, ada agenda tertentu di belakang pengaturan pertemuan itu.

Khalid kini menghadapi tekanan dari partinya sendiri, PKR, agar meletakkan jawatan sebagai menteri besar Selangor.

Ia bermula secara rasmi melalui 'Langkah Kajang' namun gagal apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh bertanding pilihan raya kecil itu selepas Mahkamah Rayuan yang tiba-tiba bersidang dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atasnya.

Tempat beliau diambil alih oleh isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail Wan Ismail yang menang sebagai Adun Kajang.

Namun pihak yang merancang Langkah Kajang dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider tanpa mahu disebutkan namanya berkata, Presiden PAS Abdul Hadi adalah penghalang kepada rancangan untuk menukar Khalid.

Lalu dikatakan Abdul Hadi mempunyai hubungan rapat dengan Khalid melalui menantunya Zaharudin Mohamad yang diberikan kerja di pejabat Kumpulan Perangsang Selangor.

Pengerusi Kumpulan Perangsang Raja Idris Raja Kamarudin juga dikaitkan dengan Abdul Hadi kerana pernah bekerja dengan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu ketika Abdul Hadi adalah MB Terengganu (1999 - 2004).

Pertemuan lewat malam itu dikatakan dirancang untuk menunjukkan Abdul Hadi dan PAS masih memberikan sokongan penuh kepada Khalid untuk kekal di kerusinya itu.

Siapakah yang merancang pertemuan ini... jeng jeng jeng... jom kita pakat-pakat siasat. – 17 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments