Terima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak, Pengerusi Barisan Nasional (BN) kerana menaikkan harga minyak malam kelmarin. Kerana jasa baik Datuk Seri, laman-laman sosial aktif semula. Kerana jasa baik Datuk Seri, hidup kami berseri semula selepas Facebook dan Twitter kami berdentung-dentang dan berkicau riang.
Inilah sudut baik pengumuman kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen itu. Sebaik saja selesai pilihan raya umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu, kemeriahan laman sosial khasnya Facebook dan Twitter hilang sama sekali, tidak sebagaimana menjelang pilihan raya lalu.
Kalau ada pun pada awal-awal sebaik sahaja selesai PRU13. Itu pun kerana masing-masing ghairah dengan pelantikan pimpinan negara dan negeri yang baru.
Namun selepas selesai pembentukan kerajaan negeri Selangor (kerana Selangor paling lewat membentuk kerajaan) keghairahan itu hilang. Hingga semalam selepas 'hadiah' diumumkan Datuk Seri Najib.
Tindakan Najib ini bertepatan dengan formula mentadbir negara menjelang dan selepas kempen pilihan raya berdasarkan kehendak kerajaan dan kehendak rakyat.
Untuk tahun pertama, 100 peratus kehendak kerajaan dipenuhi manakala kehendak rakyat kosong pun tidak ada. Untuk tahun kedua, 80 peratus kehendak kerajaan, 20 peratus kehendak rakyat.
Untuk tahun ke tiga, 50 peratus kehendak kerajaan dan 50 peratus kehendak rakyat. Untuk tahun ke empat, 20 peratus kehendak kerajaan dan 80 peratus kehendak rakyat.
Bagi tahun kelima iaitu menjelang pilihan raya, kosong peratus kehendak kerajaan dan 100 peratus kehendak rakyat akan dipenuhi.
Inilah yang dilakukan kerajaan Najib. Menjelang pilihan raya lalu, apa sahaja kehendak rakyat pun akan dipenuhi. Ketika itu kehendak pemimpin tidak penting.
Kalau rakyat hendak jambatan, kerajaan akan bagi jambatan. Kalau tidak ada sungai untuk dibina jambatan di atasnya, kerajaan akan membina sungai untuk membolehkan jambatan dibina. Pendek kata semua kehendak rakyat akan dipenuhi, tetapi itu menjelang pilihan raya.
Kini musim segala kehendak kerajaan akan dipenuhi pula. Hampir setiap hari harga barangan naik. Inflasi negara meningkat.
Akibat perbelanjaan yang melampau menjelang pilihan raya lalu, kerajaan terpaksa mendapatkan bayarannya semula. Jika tidak, bagaimana hendak membayar gaji dan elaun besar pak-pak menteri kita.
Sebelum ini, pelbagai maklumat didengar mengenai kenaikan harga barangan, perkhidmatan dan sebagainya. Petang semalam, Perdana Menteri kita memecahkan segala-galanya selepas diam sekian lama.
Langkah dibuat kerajaan yang pertama adalah mengurangkan subsidi kerajaan terhadap rakyat.
"Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak 20 sen adalah potongan 22 peratus daripada jumlah subsidi kerajaan kepada rakyat negara ini," kata Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR dalam sidang medianya tengah hari semalam.
Baginya, tindakan memotong subsidi 22 peratus dengan menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen ini adalah jalan pintas Datuk Seri Najib.
Bagi beliau, tindakan ini tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi negara yang kian parah di bawah pentadbiran Najib dan ia satu tindakan tidak adil kepada rakyat.
Menurut Rafizi, pihak yang paling merana dengan tindakan ini adalah rakyat yang berpendapatan rendah. Mereka yang berpendapatan kurang RM500 sebulan membelanjakan 35 peratus daripada pendapatan mereka untuk membiayai petrol dan diesel.
Keluarga yang berpendapatan RM500 - RM1,000 sebulan (27 peratus), RM1,000 - RM2,000 (25 peratus), RM2,000 - RM3,000 (22 peratus), RM3,000 - RM4,000 (20 peratus) dan mereka yang berpendapatan lebiuh RM4,000 sebulan membelanjakan 10 peratus sahaja pendapatan mereka untuk petrol dan diesel.
Namun sebagaimana yang dinyatakan tadi, tindakan Najib memeriahkan kembali laman sosial. Pelbagai idea dikemukakan untuk menzahirkan bantahan mereka kepada tindakan ini.
Bukan sahaja gambar Najib yang menjadi mangsa, gambar isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor juga menjadi bahan permainan aktivis media sosial ini. Melalui 'kedai gambar' (photoshop), mereka merekabentuk pelbagai gambar untuk menzahirkan kejengkelan mereka.
Turut dipermainkan adalah menteri-menteri beliau yang memberikan jawapan bodoh setiap kali masalah menimpa negara.
Kenyataan seorang menteri supaya jangan makan ayam apabila harga ayam naik digunakan untuk membuat analogi bagi mempermainkan Najib dan pentadbirannya.
Yang menarik juga adalah pertanyaan seorang Facobooker, selama mana bantahan ini akan bertahan. Sehari, seminggu, sebulan atau setahun. Yang penting sampai tidak hingga pilihan raya umum ke 14 nanti. Sudah pasti tidak.
Ia sekadar hangat-hangat tahi ayam. Atau sekadar gas dari air Lamoned sahaja. Berdesir bila mula dibuka, selepas itu sunyi sepi dan kembalilah kita kepada kehidupan normal.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments