Rencana

Antara suara dan Deklarasi Rakyat – Ismail Hashim Yahaya

Rakyat sesebuah negara biasanya diam atau mereka ini adalah majoriti yang diam. Namun dalam diam ia mencatat dan tidak pernah lupa akan kejadian yang membinasakan negara.

Kadang-kadang rakyat sesebuah negara itu umpamanya ular sawa yang keberatan sebab terlalu banyak makan, melingkar-lingkar dalam keheningan sendiri.

Meskipun demikian, panca inderanya tajam dan institusinya kuat. Jangan sekali-kali melukainya, apa lagi jika dilukai dengan berkali-kali, maka sekali ia bangkit, malapetaka yang akan ditimbulkan.

Kadang-kala rakyat itu sabar kerana kesedaran nuraninya sangat dalam. Rakyat hanya akan memerhati bagaikan “spectator”, menonton saja apa yang diperbuat sang pemimpin di pentas negaranya.

Rakyat akan mudah mengerti kesilapan-kesilapan pemimpinnya tetapi kalau kesilapan demi kesilapan dan kesalahan demi kesalahan itu sudah tumbuh dengan sikap keras kepala, bengkeng, kesombongan dan kebongkakan, maka kesabaran dan sikap pemaafnya akan hilang dan sang sawa akan mengamuk membinasakan segala dengan lilitannya, sehingga para pemimpin yang dililitnya terasa tidak bernafas.

Rakyat itu suka menunggu dan menanti, maka tidak pernah tergesa-gesa dalam bertindak,  rakyat akan menilai, sejauh manakah raja lawak akan terus mempermainkan wataknya. Jangan memperlekehkan rakyat.

Penilaiannya sampai ke suatu tahap yang akan sampai kepada kebenaran kerana hati nuraninya murni. Maka apabila terbuka peluang dan ruang untuk bertindak, rakyat akan terus bangun dan bangkit menentang raja lawak dengan komedinya.

Begitu juga peluang sudah ada kebangkitan rakyat tidak mudah dihentikan dan dijinakkan. Agak menakutkan jika rakyat sudah tidak percaya kepada hati-hati yang meletakkan kepercayaan kepada mereka.

Maka janganlah menipu rakyat, jangan membohonginya, jangan jadi “siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama mencuri”.

Janganlah membuat rakyat bagaikan orang bodoh, jangan memunafikan diri di depan rakyat.

Lawak yang dipaparkan di pentas jenaka supaya ditepuk rakyat yang dianggap bodoh itu tidak akan bertahan lama.

Rakyat menghargai kejujuran kerana sesuai dengan politik hati nurani. Rakyat enggan dianggap bodoh, dibohongi dan apa lagi dipermainkan. Rakyat tidak disukai disakiti dengan terus menerus.

Jadi rakyat itu diam, rakyat itu sabar, rakyat itu pandai membaca peluang dan rakyat itu cerdas. Jangan sekali-kali menganggap rakyat itu tidak berbahaya kerana ia diam dan sabarnya. Dan jangan ingat jika sogokkan rakyat akan terus leka.

Marilah kita renungkan apa yang dituliskan ini, supaya suara rakyat itu benar-benar datangnya hati nuraninya, geraknya dari bawah, dari akar umbi. 

Segala dusta, kemunafikan, ancaman, tekanan, pemalsuan yang dipamerkan selama ini di pentas rakyat masih dibiarkan rakyat.

Harga diri rakyat itu hanyalah kepada kejujuran, janganlah berdalih dan bersandiwara.

Oleh itu, suara rakyatkah atau dekalarasi rakyat? – 10 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments