Rencana

Apa bangganya tidak minta maaf tapi tarik balik tuduhan? – Shahbudin Husin

Seperti ada rasa bangga pada diri Ketua Penerangan PAS Nasaruddin Tantawi apabila beliau memutuskan tidak meminta maaf kepada Lim Guan Eng dalam penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah yang dikemukakan ketua menteri Pulau Pinang itu terhadapnya.

Lebih-lebih lagi, beliau juga menyatakan keputusan tidak meminta maaf itu diputuskan setelah mengadakan sembahyang sunat 2 rakaat untuk memohon petunjuk daripada Tuhan.

Dalam penyelesaian tidak meneruskan kes itu, Nasharuddin setuju menarik balik sebahagian kandungan artikel berkaitan terowong dasar laut di Pulau Pinang yang didakwanya diberikan secara rundingan terus serta membayar kos mahkamah sebanyak RM10,000 kepada ketua menteri itu.

Dalam kenyataan yang dibacanya di mahkamah sebagaimana dilaporkan portal berita Malaysiakini, Nasaruddin menyebut, "Saya membuat keputusan untuk menarik balik sebahagian artikel yang menyinggung Lim kerana ia tidak mempunyai asas."

Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz dalam reaksi spontannya berhubung penyelesaian luar mahkamah itu mengucapkan tahniah kepada Nasaruddin kerana tidak memanjangkan kes dan juga sebab tidak meminta maaf kepada Lim.

Kenapa Nasaruddin berbangga tidak meminta maaf dan Nik Abduh pula memberi pujian mengenainya? Bukankah meminta maaf suatu sifat terpuji dalam Islam?

Kalau bangga kerana tidak meminta maaf, tidakkah Nasaruddin rasa terhina apabila terpaksa menarik balik tuduhan khusus yang didapati tiada asas terhadap Lim dan kemudian terpaksa pula membayar pampasan sebanyak RM10,000?

Kenapa hanya bangga tidak meminta maaf, tetapi tidak rasa apa-apa apabila terpaksa akur untuk menarik balik sebahagian tuduhan dan membayar sejumlah pampasan?

Bukankah menarik balik berserta membayar sejumlah wang lebih memalukan daripada meminta maaf? Lagi pula, apa perlunya lagi meminta maaf jika dakwaan sudah ditarik balik dan kena membayar dengan wang ringgit? Jadi, kenapa semacam terus berbangga tidak meminta maaf?

Dengan berbangga tidak meminta maaf juga, Nasaruddin tanpa sedar memberi gambaran yang salah mengenai agama Islam dan konsep ketuhanan apabila seolah-olah memperlihatkan keputusan itu diperoleh setelah diberi petunjuk Tuhan melalui sembahyang sunat 2 rakaat.

Benarkah Tuhan memberi petunjuk kepadanya agar jangan meminta maaf?

Jika benar petunjuk diperoleh agar tidak meminta maaf, bermakna Tuhanlah yang memberi petunjuk kepadanya agar menarik balik sebahagian dakwaan dan setuju membayar pampasan kepada Lim?

Kalau begitu, kenapa Tuhan hanya memintanya menarik balik sebahagian dakwaan dan membayar pampasan, tetapi tidak menyuruhnya meminta maaf? Adakah Tuhan tidak suka umatnya meminta maaf dan menjadi pemaaf?

Kenapa pula Tuhan tidak memintanya melawan habis-habisan di mahkamah?

Sebenarnya,  jika Nasaruddin cuba menggambarkan keputusan tidak meminta maaf itu diperoleh selepas mendapat petunjuk Tuhan, beliau tentu sukar mengelak rentetan soalan lain mengenai persoalan yang sama. Orang akan menyoal kenapa Tuhan begitu, tidak begini dan sebagainya.

Mungkin ada yang turut menyoal, kenapa sebelum membuat dakwaan terhadap Lim, beliau tidak mengerjakan solat sunat dan memohon petunjuk Tuhan terlebih dulu sama ada apa yang mahu didakwanya itu betul atau tidak?

Jika benar petunjuk Tuhan mudah diperoleh, bukankah lebih baik diminta di peringkat awal lagi, lalu tidaklah membuang masa, tenaga dan wang sehingga perlu pergi ke mahkamah?

Gambaran Islam apa yang cuba diperlihatkan dengan sikap sebegitu?

Kenapa suka sangat melibatkan Tuhan sedangkan dalam perkara sebegini, yang perlu sebenarnya ialah bukti dan sama ada dakwaan yang kita tujukan kepada orang lain berdasarkan fakta atau sebaliknya?

Lebih-lebih lagi, kes Lim dengan Nasaruddin ini bukanlah pertarungan antara Islam dengan bukan Islam, ia hanya isu berkaitan watak dan kelakuan manusia yang boleh berlaku kepada sesiapa saja tanpa mengira bangsa dan agama.

Jadi, berpada-padalah dalam "menjual" nama Tuhan kerana takut akhirnya gambaran Islam yang terpamer lebih buruk sudahnya. – shahbudindotcom.blogspot.com, 19 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments