Rencana

Hamka, ahli sejarah umat Islam di Nusantara – Asri Yussof

Hamka yang lahir dari tanah Nusantara antara ulama yang meletakkan dirinya dalam kancah intelektual. Kita sedia maklum, Hamka yang sudah menulis berpuluh buku bukanlah seorang yang berkelulusan dari universiti yang bersistem (malah yang bersistem sehingga sistem telah mereputkan intelektual ke dalam tangan kekuasaan).

Sharif Shaary memberitahu hakikat intelektual bukanlah seorang yang berkelulusan dari universiti.

"Belajar di universiti bukan jaminan seseorang boleh menjadi intelektual... seorang intelektual itu adalah seorang pemikir yang sentiasa berfikir dan mengembangkan serta menyumbangkan ideanya untuk kesejahteraan masyarakat.

Dia juga adalah seorang yang mempergunakan ilmu dan ketajaman fikirannya untuk mengkaji, menganalisis, merumuskan segala perkara dalam kehidupan manusia, terutama masyarakat di mana dia hadir khususnya dan di peringkat global amnya untuk mencari kebenaran dan menegakkan kebenaran itu.

Lebih daripada itu, seorang intelektual juga adalah seorang yang kenal akan kebenaran dan berani pula memperjuangkan kebenaran itu, meski bagaimanapun tekanan dan ancaman yang dihadapinya, terutama sekali kebenaran, kemajuan, dan kebebasan untuk rakyat."

Tahulah kita yang Hamka membangunkan dirinya secara pembelajaran kendiri. Beliau mempunyai guru, tetapi beliau tidak lahir dari sistem yang diciptakan untuknya, namun beliau lahir dari sistem yang beliau 'ciptakan' untuk dirinya.

Sejarah Umat Islam versi cetak tahun 2016 ini dari Publishing House Sdn Bhd yang mempunyai halaman setebal 1,059 adalah sebuah buku ilmiah yang memposisikan sejarah umat Islam dari penceritaan jahiliyahnya masyarakat di Tanah Arab sehingga perkembangan Islam di Nusantara.

Buku ini mengandungi 7 bahagian iaitu Keadaan Tanah Arab, Kedatangan Muhammad, Kerajaan-kerajaan Islam, Perkembangan Agama Islam Ke Negeri-negeri Timur, Perkembangan Agama Islam Di India dan Afghanistan, Daulat Osmaniah, dan Perkembangan Agama Islam di Nusantara.

Berbeza dengan apa yang ditulis oleh Tamim Ansary, Sejarah Dunia dari Sudut Pandang Islam yang diterbitkan ke dalam terjemahan bahasa Melayu pada tahun 2009 lalu oleh Adiwarna, beliau tidak mempunyai bab khusus yang menceritakan sejarah di Nusantara sebaik Hamka.

Tahulah kita, Hamka yang lahirnya di Nusantara tentu sahaja akan memuatkan sejarah tanahnya sendiri, manakala Tamim Ansary lahir dari Barat tentu saja lebih memberi fokus dengan melihat melalui sudut pandang Islam terhadap tanahnya sendiri.

Tidaklah saya cuba membandingkan kesahihan kedua-dua penulis ini, namun sekadar memerhati apa yang Hamka ada dan Tamim Ansary tiada, juga sebaliknya.

Ada dan tiada itu bukanlah sebagai kekurangan buat diri seseorang penulis itu, tetapi ia membuatkan para pembaca sedar bahawa perlunya kita lebih banyak membaca dan mempunyai rujukan yang lebih dari satu dalam setiap topik.

Hamka menulis Islam dibangunkan atas keteguhan iman secara peribadi.

"Penyebaran Islam di pulau-pulau dan negeri-negeri Melayu ini lain daripada yang lain. Dia selalu berkembang dan selalu berjuang, bukan dengan kekerasan senjata tetapi karena perkembangan cita, dijalankan dengan dakwah yang bersungguh-sungguh ataupun bermalas-malas. Sehingga amat bergantunglah kemajuan Islam itu kepada keteguhan peribadi dan iman daripada mereka yang menyebarkan."

Sebagaimana John Santayana berkata, "Those who cannot remember the past, are condemned to repeat it. Cukup bercakap mengenai negara Islam jika kita ego untuk memerhati ke belakang, apa yang sudah terjadi. – 4 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments