Kongres Rakyat mengingatkan kerajaan dan rakyat Malaysia, TPPA mempunyai implikasi berat terhadap budaya tempatan.
Selama ini, untuk menyokong kesinambungan budaya rakyat Malaysia, dalam cabaran menghadapi asakkan program TV dan industri filem luar, terutama dari USA yang murah seperti negara-negara lain, Malaysia mensyaratkan semua program TV mempunyai kandungan tempatan.
Dalam pengiklanan, kandungan luar dalam siaran media untuk tujuan iklan komersial dihadkan kepada 20%.
Dalam audio-visual dan penyiaran, kerajaan menghadkan kouta kandungan siaran dalam TV dan radio.
80% rancangan TV mesti diperuntukkan kepada kandungan yang dikeluarkan syarikat tempatan yang dimiliki Bumiputera dan 60% dalam program radio perlu berasal dari kandungan tempatan.
Pelaburan asing dalam penyiaran tidak dibenarkan dan dihadkan kepada ekuiti 20% sahaja dalam operasi siaran radio dan TV kabel, mahupun satelit.
Sebagai syarat memperolehi lesen untuk beroperasi, sewaan video diperlukan memilikki 30% kandungan tempatan dalam inventorinya.
Malaysia mengguna syarat kandungan lokal untuk menyokong budaya lokal melalui industri radio dan television.
Jika Malaysia mengguna layanan nasional dan akses kepada pasaran tempatan oleh pelaburan asing dalam komitmennya dalam TPPA tanpa pengeculian yang sesuai, maka syarat kandungan tempatan tidak lagi boleh dibenarkan.
Liberalisasi perkhidmatan dan pelaburan dalam TPPA berasaskan" senarai negatif".
Contohnya, Malaysia membuat komitmen dalam semua sektor untuk memberi layanan nasional dan akses kedalam pasaran Malaysia kecuali sektor yang ia memperolehi pengecualian, itu pun yang perlu dipersetujui semua negara TPPA (‘non-conforming measure’) dalam Annex I dan II.
Kerajaan New Zealand menghadapi masalah mengenakan syarat kandungan tempatan dalam penyiarannya kerana membuat komitmen yang sama dalam Perjanjian Am Untuk Perdagangan dan Perkhidmatan (General Agreement on Trade in Services (GATS) di bawah Organisasi Perdagangan Dunia (WTO).
Isu kandungan tempatan menjadi isu yang sangat politikal dalam beberapa negara.
Contohnya di New Zealand, ia menjadi janji dalam kempen pilihan raya, namun bila parti yang berjanji itu menang, ternyata ia tidak boleh dilaksanakan kerana negara terikat dengan perjanjian dalam perkhdimatan perjanjian perdagangan seperti GATS.
Ini menunjukkan walaupun hanya percubaan yang kecil untuk menyokong kandungan tempatan, boleh ditafsir sebagai melanggar peraturan TPPA mengenai sektor perkhidmatan.
Demikian juga hal yang sama berlaku kepada Australia. Menyedari masalah yang dikenakan peraturan TPP, Australia berusaha memberi pelbagai sokongan kepada industri filem dan televisyen tempatan, termasuk syarat menyiarkan program keluaran Australia, peraturan kemasukan sementara orang asing untuk industri hiburan dan peraturan pemilikkan media syarikat asing.
Semua ini dilihat sebagai keperluan untuk menyokong sektor audio-visual Australia.
Kekhuatiran kerajaan Australia adalah jika hanya pertimbangan komersial sahaja diambil kira, industri budaya lokal akan terhakis dan diganti dengan budaya negara asing yang memiliki kekuatan kewangan disebabkan kehadhiran multinasionalnya, dominasi pasaran dan populasi yang lebih ramai.
Khususnya, AS mendominasi perdagangan global dalam barangan dan perkhidmatan.
Oleh kerana tidak hanya boleh bergantung kepada pasaran untuk survival , industri audio visual , seni dan hiburan Australia memerlukan sokongan secara langsung dan tidak langsung dari kerajaan.
Kerisauan ini juga dirasai terhadap pengiklanan.
Tanpa kawalan dan liberalisasi total dalam sektor ini akan menjejaskan nilai dan budaya tempatan.
Oleh itu, polisi semasa dan masa depan di negara membangun mungkin berhasrat agar kandungan lokal dalam industri filem dan television boleh dikawal.
Tetapi langkah ini boleh dihadkan atau dihalang peraturan TPPA, termasuk perkhidmatan pengiklanan, audiovisual dan telekomunikasi.
Syarat yang dikenakan ke atas produk dan audiovisual luar akan dilihat melanggar TPPA, kecuali ia mendapat pengecualian yang dipersetujui semua negara TPPA yang lain.
Juga pemilikan media oleh syarikat asing adalah isu sensitif.
Jika negara membangun mahu menghalang pemilikan asing untuk suratkhabar, televisyen dan/atau stesyen radio ia perlu pencualian di bawah TPPA.
Dalam analisis awal, Malaysia tidak mempunyai pengecualian yang releven dalam TPPA untuk membolehkannya terus mengenakan syarat kandungan tempatan dalam pengiklanan, televisyen, dan radio.
Seperti banyak bab dalam TPPA, jika Malaysia komited mengeluarkan syarat kandungan tempatan dalam TV, radio, dan jika ia tidak melakukan demikian, boleh disaman negara TPPA lain (contoh AS).
Kami berpendapat jika ada penjajahan yang paling parah yang perlu dihalang dengan bersungguh ialah penjajahan budaya.
TPPA membuka ruang kepada penjajahan budaya apabila saluran budaya, iaitu media massa, dibuka kepada rempuhan pelabur luar yang mempunyai kewangan yang lebih kukuh untuk menguasai minda dan nilai hidup masyarakat tempatan.
Tanpa TPPA ini sekali pun pencemaran budaya tempatan, sudah jelas dan tidak dapat dikawal akibat dasar liberal yang diamal kerajaan.
Apatah lagi jika TPPA dimeterai, mengenakan syarat untuk melindungi budaya tempatan adalah suatu yang bercanggah dengan peraturan perjanjian TPPA itu sendiri.
Dalam bab Pelaburan mengikut teks TPPA tersebut, pengecualian terhadap kandungan tempatan, tidak eskplisit.
Dengan yang demikian menandatangani TPPA, rakyat bakal menghadapi rumpuhan budaya asing yang lebih meluas dan dilaksanakan atas nama liberalisasi sektor perkhidmatan yang diperundangkan oleh peraturan TPPA.
Kami dengan itu menuntut agar pihak agamawan, budayawan dan cendekiawan melihat hal ini secara serius kerana ia berkait dengan kedaulatan negara dan keutuhan budaya.
Mereka harus bersuara membantah TPPA dan mempertahankan jati diri bangsa dan negara. – 14 Januari, 2016.
* Penulis ialah presiden Malaysian Consultative Council for Islamic Organization (MAPIM).
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments