Rencana

Keangkuhan DAP merugikan rakyat – M Lokman Yasin

Rakyat Malaysia kena faham, kunci perpaduan pembangkang kini bukan di tangan PKR atau PAS, Umno atau Amanah tetapi ia ada pada DAP.

Pakatan Harapan atau sebelum ini Pakatan Rakyat (PR) masing-masing mahukan rakyat Malaysia memberikan peluang kepada mereka untuk mentadbir Malaysia.

Namun penerimaan rakyat sepenuhnya akan terhalang untuk menerima Pakatan Harapan kerana umat Islam yang tegar masih sayangkan hudud. Terutama penyokong PAS. Sedangkan DAP menjadi penghalang untuk Amanah dan PKR menyokong hudud.  DAP perlu sedar hudud bukan cita-cita pemimpin PAS semata-mata. Ia cita-cita umat Islam yang meyakini hudud itu sendiri dianggap sebagai tuntutan agama Islam. Ini DAP sewajibnya faham. Datuk Seri Hadi Awang sendiri akan ditolak ahli PAS jika beliau berpaling daripadanya.

DAP berkeras dengan ideologinya menolak hudud dan hanya berasaskan persepsi sedangkan belum terbukti apa-apa pun kebimbangan itu kepada mereka. Maka ia sangat tidak adil kepada pengundi PAS dan penyokongnya. Mereka ada asas kukuh dan sangat kuat untuk menyokong PAS menolak DAP yang makin kuat menolak hudud sekalipun tanpa Karpal Singh.

Apa salahnya DAP memberi peluang kepada PAS melaksanakan cita-cita ahlinya dan penyokongnya untuk merasai hudud dilaksanakan. DAP sepatutnya boleh bersikap toleransi dan berlapang dada pula kepada umat Islam atau sebagai suatu penghormatan kepada umat Islam kerana menerima dan mengamalkan perundangan lain di Malaysia sekali ia tidak diyakini umat Islam sepenuhnya selama puluhan tahun di Malaysia. Cuma kini umat Islam ingin mempersembahkan “produk” mereka sendiri untuk kita sama-sama menilainya pula. Belum cuba belum tahu.

Sekiranya DAP ingin mensyaratkan hanya dilaksanakan di Kelantan dan di Terengganu atau salah satu daripadanya pasti ia cukup memadai untuk membuktikan DAP ada sikap toleransi dan keterbukaan adil kepada umat Islam. Kerisauan dimaksudkan DAP terhadap hudud itu langsung tidak perlu wujud kerana PRU masih ada setiap 5 tahun untuk rakyat membuat penilaian semula kepada hasilnya.

Apa bezanya DAP dan Pakatan Harapan yang juga mahu semua rakyat termasuk PAS dan orang Umno bersikap terbuka dan berlapang dada dengan memberikan peluang kepada mereka mentadbir Malaysia? DAP sendiri tentu tidak mahu rakyat membuat sebarang persepsi kemungkinan berlaku itu dan ini dan menakut-nakutkan rakyat menyokong Pakatan harapan sekarang ini.

Maka kerana itu DAP sendiri sepatut terlebih dulu bersikap jujur dan tidak hipokrit untuk memulakan keterbukaan dan berlapang dada menerima hudud.

Apabila DAP menyanggah semangat dan amalan demokrasi diamalkannya, sekali gus DAP bersikap tidak seiring dengan Perlembagaan mereka yang disebut dalam fasal II no 4 iaitu: "mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam undang-undang bersifat menindas dan akta berunsur diskriminasi."

Sekarang DAP sendiri diskriminasi terhadap orang Islam dari mengamalkan kepercayaan perundangan lain di Malaysia sekalipun mereka tidak yakin kepadanya selama puluhan tahun.

Malah lebih kuat dalam Fasal 4 itu bermakna jika kebebasan pelbagai agama diancam sekalipun oleh undang-undang yang menekan atau diskriminasi terhadap agama lain DAP sepatutnya bantu supaya ia tidak berlaku. Malangnya DAP sendiri membantu undang-undang yang menekan kebebasan kepercayaan agama orang Islam. DAP kini memang bercanggah dengan semangat perjuangan mereka.

DAP menghalang hudud kepercayaan umat Islam. Suatu yang sangat tidak adil dan perlu diambil kira. Jika tidak , sampai bila-bila pun perpaduan pembangkang tidak akan menjadi kenyataan dan sia-sia saja diusahakan.

Kunci ke arah merealisasikan penyatuan ini wajib ada pada DAP iaitu sikap beri peluang. – 20 Januari, 2016.

* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments