Slogan dan seruan perpaduan antara melayu mula berkumandang, parti parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (ngo) yang berasaskan kaum mula dilihat saling duduk semeja dan menyalakan semangat perpaduan antara melayu di Malaysia. Musuh tradisi antara dua parti tertua pun mula menghulur tangan kepada pimpinan parti yang disambut dengan gerak badan dan reaksi yang memberangsangkan.
Ngo dan parti politik yang pernah bermusuhan mula berbaik baik dan melupakan segala permusuhan lampau. Pun begitu adakah usaha ini akan membawa kebaikan kepada Malaysia? Atau disebalik teori indah perpaduan sebenarnya akan membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang porak peranda?
Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang mana didominasi tiga kaum terbesar iaitu melayu, cina dan india. Usaha penyatuan satu satu kaum sahaja pastinya tidak akan membawa kepada terbentuknya sebuah Malaysia yang harmoni. Sebagai sebuah negara majmuk, usaha perpaduan yang wajar digerakkan adalah perpaduan rakyat Malaysia yang merangkumi kesemua kaum bukannya hanya dikhususkan kepada kaum kaum tertentu sahaja.
Apa yang dibimbangkan adalah sekiranya usaha yang diniatkan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan kaum melayu akan menimbulkan lebih banyak kerosakan berbanding kebaikan, apatah lagi jika usaha ini turut disertai kelompok pelampau melayu yang sentiasa mencari jalan untuk menimbulkan pergaduhan antara kaum di dalam negara.
Selepas lebih 50 tahun merdeka, malang buat ibu rakyat negara ini iaitu Malaysia kerana kita "anak anaknya" masih tidak mampu hidup dengan harmoni antara satu sama lain, sikap saling curigai dan sentiasa mencari titik perbezaan.
Dalam keadaan negara menghadapi masalah kewangan yang teruk, rakyat juga menderita dengan kenaikan harga barang dan cukai cukai yang membebankan, apakah yang mampu "perpaduan ummah" ini sumbangkan dalam mengurangkan kemelaratan ini sedangkan punca dan ibu kepada segala kemelaratan rakyat adalah mereka yang turut gigih melaungkan perpaduan melayu?
Rakyat harus bertanya pemimpin mereka,
perpaduan ini untuk apa? Adakah untuk membentuk Malaysia yang gagah dipersada dunia, kalau ya bagaimana? Ataupun perpaduan ini adalah usaha untuk mengekalkan penguasaan parti politik penguasa hari ini, agar cina tidak akan memerintah Malaysia? Khurafat apa pula ini?
Insiden insiden yang melibatkan kaum di Malaysia semakin membimbangkan, baru sahaja reda isu pergaduhan di Low Yat, timbul pula pergaduhan di Kota Raya, kita hairan kenapa pergaduhan yang melibatkan beberapa individu boleh dimanipulasi sesetengah pelampau sebagai satu "perang" antara kaum, lebih malang apabila ia disambut segelintir rakyat Malaysia. Insiden terbaru ini juga seolah dirancang untuk memberi mesej kepada umum yang kaum cina ini menindas orang melayu, maka usaha perpaduan antara PAS dan Umno haruskan disegerakan.
Saya percaya yang negara kita perlukan sekarang adalah perpaduan dalam kalangan rakyatnya yang berbilang bangsa,rakyat ini harus bersatu untuk membangunkan negara dan harus bersatu menolak anasir anasir yang boleh mengancam keharmonian negara seperti pelampau kaum dan agama, juga rakyat berbilang kaum harus diajak bersatu untuk menolak pemimpin yang rasuah dan salah guna kuasa. Amat malang buat negara jika seruan perpaduan yang dibuat hanya akan memanjangkan jangka hayat pemimpin dan penguasa yang rasuah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah membicarakan soal bagaimana untuk memupuk semangat perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di Malaysia, beliau membawa idea "li taarafu" yang dipetik dari Quran Karim yang menyeru untuk umat manusia yang diciptakan Allah berbilang bangsa ini untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain, perbezaan yang wujud kemudiannya kita bukan sahaja harus toleransi, sebaliknya gesa Anwar, kita harus saling hargai antara satu sama lain, barulah kita mampu untuk hidup harmoni dalam masyarakat majmuk ini. Saya hairan bagaimana seseorang yang didakwa sebagai ulama dan sekaligus seorang pemimpin islam, boleh terlepas pandang surah ini sebaliknya lebih selesa untuk menyeru pada penyatuan antara melayu yang mana di dalamnya ada lebai agama, ada alim ulama, tidak kurang ada perompak harta dan pelampau kaum dan agama, kemana mahu mereka bawa Malaysia ini? – 21 Disember, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments