Rencana

Kepimpinan yang berdaya – Rodziah Ismail

Kepimpinan yang berdaya ialah kepimpinan yang sentiasa menginginkan kebaikan untuk yang dipimpinnya dan bersikap adil dalam setiap pertimbangannya.  Ia berpengaruh dan pengaruh itu ditentukan kegunaannya oleh apa yang tersirat di hati pemimpin.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”  – Al-Maaidah: 8.

Apa jua sistem, dasar, operasi dan arahan adalah bermaksud untuk merealisasikan agenda, misi atau objektif sesuatu entiti – kerajaan, NGO, parti-parti politik dan lainnya – memerlukan insan pemimpin yang beramanah, jujur dan bertanggungjawab untuk mendukung dan mencapainya.

Ia adalah tunggak mencapai ufuk yang kelihatan dan yang tidak kelihatan. Ia sebagai pembimbing dalam mengatasi cabaran dan risiko yang menjadi lumrah kehidupan dan perjuangan.

Keberhasilannya sentiasa mensasarkan keharmonian yang sempurna dan memaksimumkan kemaslahatan kepada yang dipimpinnya.

Kepimpinan yang berdaya akan mengusung hala tuju umat manusia kepada apa yang dipercayainya dan mencapai apa yang dipercayai dengan pertimbangan nilai dan moral yang tinggi. Tiada yang berasa tertekan ketika di samping kepimpinan yang sedemikian, walaupun ia pemimpin paling berkuasa di peringkat manapun.

Kepimpinan yang berdaya memberi harapan kepada semua yang disentuhnya dan mereka akan berasa selesa dan selamat bekerja, berjuang, berkongsi  dan menyertai dalam satu barisan bersama kepimpinan sedemikian.

Ia mengamati, menghormati dan mengambil yang terbaik daripada insan, model, kajian dan pengalaman selain diri dan kelompoknya sebagai asas integrasi dan kerjasama di kalangan manusia – dengan mengajak seramai mungkin agar berada dalam satu landasan ke arah memberi jaminan keselamatan insan kini dan untuk masa depan.

Jaminan keselamatan meliputi semua keperluan insan – tahap ekonomi yang menjamin kehidupan yang baik, tahap kesihatan yang mampu meneruskan perjalanan hidup yang selesa, pekerjaan yang mendapat perlindungan undang-undang yang sentiasa dikuatkuasakan, pendidikan yang terbaik, spiritualiti dan intelektual yang boleh ditingkatkan dari masa ke semasa, mekanisme penerimaan aduan yang bebas dan efektif serta tuntutan keadilan yang  bebas daripada sistem mahkamah dan kehakiman yang berintegriti.

Ketiadaan kepimpinan yang berdaya tentunya akan mencipta masa depan yang tidak menentu dan sangat membimbangkan. Ketiadaan kepimpinan yang berdaya akan menafikan partisipasi yang dipimpin dalam proses pembuatan keputusan, tiada komunikasi dalam hal-hal kepentingan yang dipimpin dan mencipta bebanan yang bertimpa-timpa ke atas kehidupan seharian mereka yang dipimpin.

Dalam situasi sedemikian, yang dipimpin hanya menjadi anasir yang merealisasikan keinginan diri pemimpin.

Antitesis kepada kepimpinan yang berdaya ialah kepimpinan yang mendominasi orang lain – iaitu, yang memanipulasi orang lain untuk kejayaan dirinya, mengawal insan dan menjulang dirinya untuk kepentingan dirinya, merewakkan budaya yang merendahkan martabat untuk menyemarakkan perpecahan dan memperhambakan manusia secara emosi dan mental.

Kepimpinan dominator ini mengamalkan tipu-daya, eksploitasi, ancaman dan tekanan untuk mengekalkan kuasa dan merealisasikan agendanya.

Kepimpinan yang berdaya membebaskan manusia daripada dibelenggu. Kebebasan yang menghormati semua walau apapun keadaan dan jantina mereka. Kepimpinan yang berdaya adalah yang berlandaskan nilai, memberi harapan kepada semua dan mengotakan kata-katanya.

Selamat Menyambut Hari Wanita Sedunia 2015.  – 7 Mac, 2015.

* Penulis adalah leader-founder Pertubuhan Inisiatif Pemberdayaan Wanita (WE Initiative).

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments