Bermula 10 Zulhijjah diikuti dengan tiga hari Tasyrik merupakan hari-hari yang ditunggu oleh umat Islam seluruh dunia bagi menyempurnakan ibadat korban dengan penyembelihan lembu, kambing, biri-biri dan unta.
Ibadat korban membuktikan ketaqwaan hamba kepada Penciptanya. Ini disebut Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu.
Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya.” (Surah al-Hajj, ayat 37)
Umumnya, sebilangan besar umat Islam memahami ibadat korban dengan tafsiran sempit yang terhad kepada perbuatan penyembelihan haiwan korban semata-mata.
Hakikatnya ibadat korban merangkumi segenap aspek dalam proses penyembelihan dari urusan pengangkutan haiwan, pengurusan haiwan di tempat penyembelihan dan pengendalian haiwan sebelum, semasa dan selepas penyembelihan.
Bagi memenuhi pasaran ibadat korban, sudah pasti ladang-ladang dan pusat-pusat penternakan haiwan bakal mengeluarkan jutaan haiwan untuk dihantar ke tempat-tempat penyembelihan melalui pengangkutan darat, udara dan air.
Ibadat korban menganjurkan urusan pengangkutan haiwan-haiwan ke tempat penyembelihan dilakukan dengan menjaga kebajikan dan keselamatan haiwan.
Islam mensyariatkan agar haiwan tidak dimasukkan ke dalam kenderaan dengan cara kekerasan sehingga boleh menyebabkan kecederaan.
Islam menganjurkan kebajikan terhadap haiwan dalam pengangkutan dengan memastikan haiwan diberi makanan dan minuman secukupnya dan tidak dibiarkan bersesak dalam kenderaan.
Khalifah Umar dalam satu riwayat memukul sorang lelaki yang mengheret seekor biri-biri dengan kasar ke tempat penyembelihan dan berkata “Layanilah biri-biri itu dengan baik sebelum dikorbankan”.
Ibadat korban juga menuntut kebajikan haiwan dijaga dengan rapi di tempat penyembelihan. Tempat yang selesa perlu disediakan untuk haiwan korban. Haiwan tidak sewajarnya dibiarkan kepanasan di bawah cahaya terik matahari sementara menunggu waktu penyembelihan.
Memberi keselesaan kepada haiwan sebelum penyembelihan adalah sebahagian ajaran Islam. Rasulullah dalam sebuah hadis melarang sahabat baginda menajamkan pisau sembelihan di hadapan haiwan yang hendak disembelih.
Saidina Umar juga dalam satu riwayat melarang penyembelihan seekor biri-biri di hadapan sekumpulan biri-biri yang lain. Peristiwa-peristiwa ini membuktikan ajaran Islam begitu mengambil berat tentang kebajikan haiwan, dengan menjaga emosi mereka dari ketidakselesaan.
Semasa penyembelihan, Islam menganjurkan sifat ihsan. Haiwan perlu dikendalikan dengan penuh sifat perikemanusiaan tanpa kekerasan. Pisau sembelihan perlu ditajamkan. Dalam masa yang sama, penyembelih perlu mempunyai kemahiran dan kepakaran bagi memastikan sembelihan dilakukan dengan sempurna.
Rasulullah dalam sebuah hadis bersabda: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara yang paling sempurna, tajamkanlah pisau kamu agar haiwan tersebut cepat dan mudah mati.”(Hadis riwayat Muslim)
Setelah selesai penyembelihan, daging haiwan itu tidak segera dilapah. Sebaiknya haiwan sembelihan dibiarkan seketika sehingga ia benar-benar mati dan sejuk tubuhnya, barulah proses melapah dilakukan.
Islam juga menganjurkan pihak dan individu yang menjalankan ibadat korban untuk kebersihan alam sekitar selepas selesai ibadat korban. Bahan buangan seperti darah, tulang, kulit dan sebagainya perlu dikendalikan dengan baik.
Pengurusan sisa buangan selepas ibadat korban yang tidak dikendalikan dengan baik boleh memberikan tafsiran negatif terhadap ibadat suci ini.
Begitulah indahnya ajaran Islam. Kebajikan dan keselesaan haiwan sentiasa diberikan perhatian utama dalam ibadat korban. Prinsip kasih sayang, belas kasihan dan perikemanusiaan terhadap haiwan ajaran Rasulullah menjadi manifestasi dalam kehidupan muslim.
Pengendalian sisa dan bahan buangan haiwan secara baik dan terurus selepas ibadat korban mencerminkan tuntutan menjaga kebersihan alam sekitar.
Sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang tiba, marilah kita sama-sama menghayati prinsip ihsan terhadap haiwan dalam ibadat korban dan dalam kehidupan kita seharian.
Janganlah kita membiarkan pahala ibadat korban kita terjejas kerana mengabaikan kebajikan haiwan dan kebersihan tempat sembelihan korban.
Paling menarik tahun 2014 ini, ketibaan Hari Raya Aidiladha juga disambut bersama-sama dengan tarikh-tarikh penting bagi perayaan Haiwan Sedunia. Hari Haiwan Ternakan Sedunia (World Farm Animals Day) disambut pada 2 Oktober dan Hari Haiwan Sedunia (World Animal Day) disambut pada 4 Oktober.
Yang penting, kedua-dua perayaan haiwan sedunia ini membawa mesej yang sama dan senada dengan semangat Aidiladha, mengutamakan kebajikan haiwan. Ia memberikan tafsiran luas merangkumi aspek-aspek keutamaan pengendalian kebajikan haiwan sebelum, semasa dan selepas upacara sembelihan atau korban.
Marilah kita bersyukur kepada Allah yang menjadikan haiwan untuk manfaat kita bersama.
Marilah kita berdoa agar ibadat korban kita diterima oleh Allah dan kita digolongkan dalam golongan orang-orang yang bertaqwa. – 2 Oktober, 2014.
* Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments