Rencana

Menentang kemungkaran satu kewajipan – Radin M Imaduddin

Melawan kemungkaran sebenarnya suatu tuntutan yang datang bersekali dengan amar maaruf. Kedua-dua ini dinukilkan dalam Al Quran secara seiring dan bersama-sama sebagai syarat kejayaan. Sedangkan kemungkaran yang ada di depan mata, wajib diperangi dan dihentikan seberapa segera.

Secara strategiknya, tindakan ini mungkin memberi peluang kepada pihak lawan bereaksi dengan menukar kepimpinan mereka, dan sekali gus bakal membuatkan semakin sukar meruntuhkan hegemoni pihak berkenaan.

Namun, pada dasarnya, usaha ini bakal menghentikan kezaliman dan kerosakan (walaupun pada jangka masa pendek), pada masa sama, memberi kebaikan kepada rakyat. Kegusaran dalam meraih sokongan rakyat bakal memberikan impak jangka pendek kepada rakyat keseluruhannya.

Dalam konteks negara demokrasi, kuasa kepimpinan terletak kepada kuasa undi rakyat. Jika rakyat sedar, puas hati, dan meyakini dengan gula-gula yang dicurahkan, maka mereka akan dihadiahkan dengan undian.

Pembelian jiwa akan berlaku daripada pelbagai pihak dengan mengaku sebagai pejuang suara rakyat. Begitulah kebaikan jangka pendek menjelang pemilihan umum. Lantas, pada pemilihan yang memerlukan rakyat mengambil peranan kelak, sewajarnya diserahkan kembali kepada kebijaksanaan rakyat.

Namun begitu, sudah tentu tugas bagi menghentikan hegemoni kezaliman dan kemungkaran bagi jangka panjang akan semakin sukar. Di sinilah, permainan membeli jiwa rakyat berlaku sekali lagi.

Pada kebiasaannya, tugas membeli ini, selalu dimenangi oleh mereka yang punya modal dan media yang lebih besar. Rakyat yang berprinsip, akan membezakan apa yang dibelinya, dan dengan siapa dibelinya.

Maka, tanggungjawab mengajak kepada kebaikan, serta mencegah kepada kemungkaran perlu dilihat sebagai tugas hakiki dan memerlukan kerjasama erat pihak yang mengaku berjuang untuk rakyat dan merasakan berada di pihak kebenaran dan keadilan.

Tugas ini tidak mudah, tetapi juga tidak mustahil. Jika dalam konteks parti politik, membiarkan parti lawan berada dalam keadaan lemah, terutama dengan membiarkan sahaja kepimpinan parti lawan lemah adalah suatu tindakan yang berstrategik dan kelihatan bijak.

Tapi, tindakan yang kononnya berstrategik itu, akan membiarkan rakyat terus-terusan dalam kezaliman dan terus-terusan membiarkan kemungkaran berlaku. Sesungguhnya, tindakan melawan kemungkaran ini perlu disegerakan walaupun faktor kejayaan itu tipis dan kelihatan mustahil.

Tuhan tidak bertanya sama ada berjaya atau tidak penghasilannya, Tuhan melihat sejauh mana usaha yang dibuat secara bersungguh-sungguh bagi menentang kemungkaran. Burung pipit yang kecil mengajar kita bahawa usaha gigih memadam api yang marak menyala di kala Nabi Ibrahim dibakar pemimpin zalim Sang Namrud.

Tugas burung pipit melakukan terbaik mencegah kemungkaran seberapa segera sedaya mampunya patut dicontohi. Usaha itu ternyata bukan sia-sia.

Tuhan juga menjanjikan kebaikan kepada para pengikut yang bersama-sama Nabi Musa menyeberangi samudera yang memustahilkan. Tuhan juga menjanjikan kebaikan kepada para pengikut Nabi Muhammad yang berpindah dari tanah airnya ke daerah yang serba tidak ketahuan sehelai sepinggang.

Justeru, tindakan ini bukan reaksi. Tindakan ini atas kesedaran dalam usaha mencegah kemungkaran, dengan model “mass movement”. Model ini memerlukan segala kekuatan yang ada pada rakyat marhaen, dituntun pula oleh mereka yang punya pengaruh dalam masyarakat.

Bekerja sepasukan itu ada hikmah dan barakahnya yang luar biasa. Apa perlu semua kerja-kerja yang sukar ini jika mereka boleh berkompromi dengan kezaliman? Soalnya, bagaimana kita melihat konteks kemungkaran pada hari ini? – 10 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments