Isu diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam, berpakaian menutup aurat seringkali menjadi perbahasan dalam masyarakat.
Isu terkini, melibatkan kejadian jururawat Naziah Sauni Samat yang diberhentikan kerja majikannya, Damai Services Hospital kerana enggan mengenakan pakaian seragam berlengan pendek. Menurut laporan media pihak pengurusan hospital menegaskan pemberhentian itu adalah kerana masalah disiplin pekerja terbabit.
Pihak pengurusan Damai Services Hospital juga menyatakan polisi pakaian berlengan pendek untuk jururawat berkuatkuasa sejak hospital itu beroperasi pada 1989. Jururawat tidak dibenarkan memakai lengan panjang kerana dikhuatiri akan menyebabkan jangkitan kuman ketika mengurus pesakit.
Pada masa yang sama, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, dalam ulasannya mengatakan jururawat di hospital kerajaan yang beragama Islam dibenarkan berpakaian menutup aurat dengan mengenakan pakaian berlengan panjang. Kajian saintifik setakat ini juga menunjukkan tiada bukti berpakaian lengan panjang meningkatkan risiko jangkitan penyakit.
Wanita Ikram prihatin terhadap isu ini kerana ianya membabitkan hak, kebajikan dan kewajipan seorang pekerja wanita Islam berpakaian sebagaimana yang dituntut agamanya.
Apa yang berlaku ini, menunjukkan tentang suatu cabaran kepada masyarakat dalam melaksanakan usaha menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita termasuk dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan budaya. Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyebut tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, keturunan, tempat lahir, jantina atau perlantikan mana-mana jawatan.
Ekoran dari peristiwa ini juga pihak Damai Services Hospital mendapat ancaman apabila pintu utama Hospital Damai Service Sdn Bhd di Taman Melawati, disimbah cat putih dua individu yang menunggang motosikal.
Justeru Wanita Ikram menyeru agar;
1. Pihak Damai Services Hospital Sdn Bhd, agar melihat dan mengkaji semula Peraturan Pakaian Jururawat yang sudah mereka amalkan selama 26 tahun sejak 1989.
Memang benar sebagai majikan mereka berhak menentukan polisi dan dasar sendiri namun dari aspek lain, kesediaan mereka untuk bertolak ansur dan membenarkan jururawat memakai pakaian seragam berlengan panjang sesuai tuntutan hukum Islam adalah merupakan satu langkah bijaksana dan mesra pekerja di samping ini akan memberikan pilihan terbaik kepada 41 orang jururawat mereka yang juga beragama Islam yang sekali gus akan memberi keselesaan dan ketenangan kepada mereka kerana dapat melaksanakan tuntutan berpakaian sebagaimana ajaran agama Islam.
2. Semua pihak hendaklah menghadapi isu ini dengan matang dan bijaksana. Janganlah ada pihak yang menangguk di air yang keruh. Peristiwa simbah cat adalah satu tindakan yang wajar dikecam kerana ia bukan suatu budaya mulia dan bukan dari ajaran Islam malah ia hanya memburukkan lagi suasana.
Islam sangat menganjurkan dialog dan perbincangan serta meraikan kepelbagaian agama, perbezaan pendapat, kaum dan budaya.
3. Setiap pekerja wanita mestilah mengetahui hak-hak mereka yang dijamin melalui perlembagaan dan undang-undang. Mereka juga harus berani tampil untuk membuat aduan atas mana-mana majikan yang mengenakan sebarang peraturan yang bercanggah dengan hukum Islam sekali gus juga melakukan eksploitasi wanita.
4. Wanita Islam juga perlu bijak memilih bidang pekerjaan yang bersesuaian bagi memastikan tuntutan agama, tugas dan tanggungjawab utama mereka sebagai anak, isteri dan ibu tidak terabai kerana tuntutan kerjaya.
Semoga dengan ini kita dapat melahirkan masyarakat rahmah dan harmoni, saling hormat menghormati dan prihatin terhadap keperluan masing-masing. – 22 Disember, 2015.
* Datin Paduka Hajah Che Asmah Ibrahim merupakan Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments