Rencana

Penipuan dan pergaduhan di kedai telefon: Budaya baru kita? – Nisar Mohammad Ahmad

Kebelakangan ini berlaku beberapa kes pergaduhan yang dikatakan berpunca daripada penipuan dalam urusan jual beli telefon pintar. Dua kes yang ketara ialah masing-masing pada penghujung Ramadan yang lalu (di Plaza Low Yat) dan terbaru, beberapa hari lalu (di Plaza Kota Raya) – kedua-duanya di Kuala Lumpur.

Susulan tuduhan penipuan tersebut, berlaku insiden-insiden yang tidak diingini seperti kekecohan, perbalahan dan pergaduhan antara penjual dan pembeli. Situasi ini, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kaum yang berbeza, amat berpotensi untuk mencetuskan kekacauan dan menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang-kaum seperti Malaysia.

Beberapa kemusykilan di fikiran;

1.   Negara kita mempunyai undang-undang. Andai benar terdapat unsur penipuan, walaubagaimana serius dan keterlaluan sekalipun penipuan itu – termasuk elemen ugutan dan sebagainya, maka peniaga berkenaan melanggar undang-undang dan boleh diambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada. Persoalannya, kenapa tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti KPDNKK, DBKL, Polis dan lain-lain agar tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pesalah?

2.   Adakah pihak yang terlibat dalam pergaduhan dan kekecohan ini ingin membuat satu ‘precedent’ agar setiap kali berlaku kes penipuan dalam penjualan telefon di mana-mana selepas ini, tindakbalas yang sama perlu diambil? Jika tindakbalas ini diambil, adakah ia benar-benar dapat menyelesaikan masalah penipuan ini?

3. Adakah tindakbalas yang melibatkan pergaduhan dan kekecohan ini berlaku disebabkan masyarakat kurang keyakinan dan kepercayaan kepada keberkesanan penguatkuasaan dan pencegahan dari pihak berkuasa?

4.  Ada yang mendakwa insiden penipuan ini sudah lama berlaku dan peniaga sudah kerapkali mengaut keuntungan dengan cara tersebut. Jika benar seperti didakwa, kenapa insiden penipuan itu masih bebas berlaku? Tidak adakah pihak yang membuat laporan dan tidak adakah pihak yang mengambil tindakan sepatutnya?

Apapun, amat tidak berbaloi rasanya untuk menggadaikan keharmonian masyarakat dan negara hanya kerana beberapa buah telefon pintar. Dalam sebuah negara merdeka dan berdaulat seperti Malaysia, sudah pasti ada penyelesaian yang terbaik untuk insiden penipuan ini.

Marilah kita melihat isu seperti ini secara rasional dan elakkan menyemai kebencian antara kaum yang berbeza. Sifat menipu dan ingin bergaduh tidak relatif pada sesuatu bangsa tertentu tetapi boleh saja berlaku dalam mana-mana komuniti.

Pandangan saya mungkin saja salah atau betul. Namun, saya tidak dapat mengelak dari berasa bimbang dan sedih kerana insiden seumpama ini, sekiranya tidak ditangani dengan sebaiknya, bakal menggoncang perpaduan dan keharmonian masyarakat Malaysia yang multi-kultural ini.

Saya berharap akan ada mekanisme penyelesaian yang tuntas untuk permasalahan ini agar insiden serupa tidak berlaku di masa-masa akan datang. Saya yakin pihak berkuasa di negara ini mempunyai apparatus yang mencukupi untuk menyelesaikan isu ini. – 22 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments