Gelaran wanita mungkin sudah perlu diambil auranya sekarang memandangkan umur saya sudah menghampiri 2 dekad.
Dan pada umur sebegini saya kira saya perlu semakin serius mengambil berat tentang peran-peran wanita sama ada dengan cara menelusuri kehidupan sosok-sosok wanita pengubah dunia, mengembangkan potensi diri yang terbeku mahupun dengan mengamati isu-isu global tentang wanita masa ini.
Ini kerana, mana mungkin generasi harapan akan lahir daripada perut ibu yang tidak membina harapan dan impian.
Saya antara anak muda yang tidak ketinggalan dengan kepesatan serta kecanggihan laman sosial di alam maya dan ketika pada Hari Wanita Sedunia tempoh hari.
Seperti biasa, wanita-wanita dirai dengan penuhnya rantaian-rantaian nasihat mahupun kalimat penghargaan di ruangan Facebook, WhatsApp dan sebagainya.
Saya lalui hari tersebut agak bersemangat dengan membaca mesej-mesej berkenaan pada awal hari dan meninggalkan sebahagian yang lain begitu sahaja apabila berpuluh-puluh mesej sama masuk.
Saban tahun seperti itulah fenomena yang berlaku, sesiapa yang sedar akan mengambil semangat hari bertarikh 8 Mac ini dan menukarkannya kepada satu daya tajdid pada diri sendiri manakala sebaliknya akan meraikannya dengan retorik ataupun atas asbab dia itu perempuan semata-mata.
Lalu tiadalah keinginannya untuk mengubah diri sendiri apatah lagi umat manusia.
Tetapi saya amat yakin kebanyakan perempuan ataupun wanita zaman sekarang ini baik-baik dan mahu berlumba ke arah kebaikan.
Namun, timbulnya beberapa perkara masalah inferiority complex yang menyebabkan diri mereka kembali rasa terpenjara lalu kembali membekukan diri daripada mencetuskan sebarang perubahan.
Kadang-kadang mereka itu bukanlah orang biasa, boleh jadi berlatar belakangkan pendidikan agama (baca : Islam) yang kuat sejak kecil tetapi apabila diminta memimpin jemaah solat sesama jantina pun ditolak sehabis dayanya.
Maka lahirlah hero-hero jadian yang hanya hebat bersuara tentang dakwah, usrah, tamrin di Facebook tetapi hakikatnya tidak seperti tuan badan.
Mereka ini berpotensi dan berakhlak, tetapi cuma perlu disuntikkan lagi semangat dan keyakinannya supaya golongan ini setidak-tidaknya dapat mengisi kelompangan yang berlaku dalam institusi pendidikan dan kekeluargaan yang semakin hari semakin meranap.
Wanita hari ini tidak boleh lari daripada pentas ilmu. Walaupun masih sukar untuk melihat wacana-wacana ilmiah hari ini dipelopori oleh panel wanita rata-ratanya tetapi percambahan minat ke arah budaya ilmu dalam khususnya mahasiswi dilihat semakin meluas di kampus-kampus utama.
Perubahan iklim atau trend pembacaan juga sudah menunjukkan bunga-bunga perubahan daripada tema cinta cintun kepada yang lebih realistik.
Wanita juga tidak terpisah daripada soal emansipasi. Pasti ada sahaja pihak tidak bertanggungjawab yang mengeluarkan suara-suara sumbang dan menuding jari ke arah dasar Islam sebagai asbab atau seteru dalam menuntut hak ini terutamanya dalam bab pembahagian harga,poligami dan sebagainya.
Maka di sinilah titik kesinambungan antara para asatizah dan para profesional terutama di bidang sains perlu diwujudkan.
Mereka sebolehnya duduk bersama dalam usaha mencerahkan masyarakat tentang adilnya ketetapan syariatullah dan sunnatullah.
Hal ini kerana masih banyak perbahasan yang kita sendiri masih terperangkap dalamnya tidak lain dan tidak bukan yang berpunca daripada kejahilan masyarakat atau ilmuwan itu sendiri.
Kita mungkin tidak perlu beraksi setegar Cut Nyak Dhein dalam mengangkat senjata ataupun sekuat Marie Curie dalam menahan penyakitnya kerana ujian kita berbeza dengan mereka. Cuma sikap mereka yang perlu dipasakkan dalam diri kita.
Wanita yang tahu peranan diri akan berlari dan berlumba-lumba ke arah kebaikan dan pengislahan. Selamat Hari Wanita Sedunia! – 11 Mac, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments