"Seperti kita ketahui keadaan banjir di Sarawak agak teruk dalam masa 3 hari ini. Setakat ini kira-kira 7 ribu menjadi mangsa banjir. Namun ada perkara yang amat menyedihkan kita di sebalik banjir ini, kerana media-media arus perdana dan stesen-stesen TV seperti tidak ambil endah banjir yang berlaku di Sarawak.
"Kalau ada pun mereka membuat liputan berita mungkin hanya sekitar 2 minit saja. Kalau negeri-negeri di Semenanjung Malaysia yang dilanda banjir, "arumbulak" kata orang Sarawak, setiap minit, setiap jam dan setiap hari mereka akan buat liputan berita.
"Dari situ sudah nampak berlaku double standard dan pilih kasih. Nasib baik ada laman sosial, kalau tidak mungkin rakyat Malaysia tidak tahu yang Sarawak sedang dilanda banjir besar tahun ini." #KamiMahukanKeadilan # PrayForSarawak (Dipetik daripada laman Kamek Miak Sarawak).
Sebuah luahan daripada sebuah akaun Facebook biasanya akan dianggap sebagai luahan tanpa asas, tanpa bukti dan tidak menunjukkan keadaan yang sebenar.
Begitu juga dengan akaun di atas. Bagaimanapun, selepas meneliti semula di portal berita dan media cetak, luahan di atas seakan ada kebenarannya.
Berita banjir di Sarawak seolah-olah sesuatu yang tidak menjadi keutamaan. Terdapat beberapa media cetak dan portal berita melaporkan tentang banjir di Sarawak tetapi dalam kolum yang kecil.
Umum mengetahui tentang peristiwa banjir di Sarawak hanya melalui laman sesawang dan media sosial, itupun yang dilaporkan mereka yang berasal dari Sarawak. Pilih kasihkah kita?
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata kini terdapat 7,177 mangsa banjir daripada 1,822 keluarga di pusat pemindahan berbanding 7,636 daripada 1,917 keluarga malam tadi.
Jumlah ini bukannya sedikit. Di mana rasa peduli kita terhadap hampir 8 ribu manusia di negeri bertuah ini. Pilih kasihkah kita?
Situasi ini jelas sekali berbeza dengan banjir yang melanda Pantai Timur pada suatu masa dahulu. Hampir setiap media melaporkan tentang banjir besar yang melanda negeri tersebut.
Ramai pihak menyatakan keprihatinan mereka baik golongan menteri, syarikat-syarikat korporat dan badan sukarelawan.
Kemusnahan harta benda, perkara ajaib ketika dan kehilangan nyawa, segalanya dilapor dan diceritakan dengan penuh rasa kemanusiaan dan simpati.
Tapi kenapa perkara sama tidak berlaku ketika banjir yang besar melanda Sarawak? Pilih kasihkah kita? Tepuk dada tanya selera.
Sarawak negeri terbesar di Malaysia ini perlu dibantu sebagaimana negeri-negeri yang lain. Hanya kerana Sarawak dipisahkan Laut China Selatan, tidak menjadikannya kurang Malaysia.
Sarawak juga Malaysia. Cubit peha kanan, peha kiri terasa jua. Bila saudara seagama sejauh Syria boleh kita titipkan doa dan kumpulkan bantuan untuk sama-sama meringankan beban, kenapa perkara yang sama tidak boleh kita lakukan untuk Sarawak Bumi Kenyalang. Pilih kasihkah kita?
Akhir kalam, Sarawak perlu diberi bantuan banjir sesegera mungkin. Sebagai negeri yang kaya dengan hasil bumi, Negeri Bumi Kenyalang ini mampu menghadapi banjir tanpa bantuan mana-mana pihak pun sebenarnya.
Bagaimanapun, pada saat mereka menghadapi musibah, sokongan moral, keprihatinan kita dan sikap ambil berat terhadap mereka yang sedang dilanda kesusahan seakan ubat yang paling mujarab dalam memperlihatkan penyatuan dan perpaduan kita.
Sikap sambil lewa dan tidak kisah kita hanya sekadar menambah luka terhadap saudara kita dengan nombor kad pengenalan 13 di tengahnya.
Justeru, ayuhlah kita sama-sama menyalurkan sumbangan dan bantuan terhadap saudara kita di Sarawak yang sedang menghadapi musibah banjir.
Sedikit daripada kita besar maknanya untuk mereka. Lepas bah pasti ada yang berubah. Semoga warga Sarawak tabah. – 7 Mac, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments