Rencana

Saya Melayu, kawan saya Cina, cabaran mencari rumah sewa ― Nomy Nozwir

5 NOV ― Dari sisi Perlembagaan Persekutuan, saya dilahirkan dalam keluarga Melayu walaupun sebenarnya saya merasakan saya adalah seorang Jawa dan Minang, memandangkan kedua keturunan ibu bapa saya datang dari kepulauan Indonesia beberapa ratus tahun lalu semasa era pemerintahan British di Tanah Melayu.

Jadi, buat masa ini ―saya ikut Perlembagaan Persekutuan, saya Melayu.

Saya ada seorang kawan.

Kawan baik saya, John, yang saya boleh katakan mampu memahami isi hati saya, seorang yang boleh saya berbual tentang segala hal dan tentang segala benda.

Semasa menonton bolasepak, dia akan bersama saya menonton pasukan bolasepak kegemaran kami, Liverpool FC.

Ya, we’ll never walk alone.

Dan kami mencari rumah sewa untuk tinggal bersama.

Dengan hasrat murni saya dan John, kami bersama-sama mencari rumah sewa yang berhampiran dengan tempat kerja kami memandangkan kami tidak menggunakan kenderaan persendirian untuk bergerak.

Saya bekerja di Bangsar sebagai wartawan walaupun hakikatnya, kerja saya tidak semestinya di Bangsar.

Saya perlu berada di mana-mana sahaja.

Manakala John, seorang pekerja di sebuah hotel di tengah bandaraya.

Kami mencari rumah sewa dari segenap kawasan di sekitar Kuala Lumpur, dari Pudu, Cheras, Bandar Tasik Permaisuri, Setapak, Jalan Ipoh, Wangsa Maju, dan sebagainya.

Apa respon yang selalu kami dapat?

“For Chinese only” dan “Untuk orang Muslim sahaja”.

Sebagai seorang moderat, saya tidak pernah kisah kalau teman serumah atau teman sebilik adalah bukan dari sebangsa mahupun seagama dengan saya.

Lagipun, saya merasakan bahawa bangsa adalah satu ilusi ciptaan manusia memandangkan DNA dalam badan homo sapiens tak pernah berlainan antara satu sama lain.

Yang membezakan kulit hitam dan kulit putih ialah pigmen kulit, dan ia tidak ada kait mengait dengan genetik.

Dan bagi saya, agama adalah kepercayaan.

Bagi saya, agama bukan penghalang untuk kita berkawan dan tinggal bersama orang lain yang tidak sama kepercayaan.

Ya, saya memang sangat naif.

Seperti kanak-kanak berusia enam tahun, ketika saya bermain tanglung bersama kawan Cina saya, saya dimarahi oleh pakcik pakai kopiah nak pergi surau kerana bermain dengan orang kafirin, takut akidah saya digugat oleh mereka.

Saya nak tanya kepada semua, adakah agama mengajar supaya kita membenci orang lain yang tidak percaya?

Proses polarisasi di negara ini berlanjutan semenjak 13 Mei 1969.

Semasa saya kecil perkara ini tidak terlalu menebal, saya masih lagi boleh membeli air soya di warung Cina semasa saya tinggal di Cheras (kerana saya percaya air soya dari warung Cina lebih original), dan saya boleh lihat orang Cina makan nasi lemak semasa saya hendak ke sekolah rendah dahulu.

Saya tidak nampak itu lagi pada masa ini.

Hari ini, saya lihat orang Cina tidak mungkin akan singgah dan makan di kedai nasi campur Melayu.

Hari ini, jika saya membeli air soya di gerai Cina, saya akan ditegur dalam bahasa Cina, dan jika saya bercakap dalam bahasa Melayu, mereka akan teragak-agak untuk menjualnya.

Saya senang untuk makan dan menikmati masakan Cina.

Kawan saya, John, dengar kata seorang yang hebat dalam memasak.

Dia suka bercerita pengalaman hidupnya semasa tinggal di Eropah dan sering memikat hati wanita Kaukasia dengan masakan Cinanya.

Saya juga, boleh tahan pandai masak memandangkan ayah saya, Nozwir Shukur merupakan seorang master chef di Hotel Grand Continental di Kuala Lumpur satu masa dahulu.

Saya berharap satu hari nanti, saya boleh menikmati masakan John dan John juga boleh menikmati masakan saya.

Kami boleh bergelak ketawa, bercerita tentang falsafah, bolasepak, buku novel yang kami baca, bercakap tentang percutian, makanan, bercakap tentang gadis-gadis yang pernah singgah dalam hidup kami, dan Liverpool FC.

Tapi untuk membuat semua itu, kami memerlukan rumah sewa.

Dan kami sedang mencari penyewa yang tidak bersifat perkauman dan bersikap prajudis terhadap orang yang lain dari mereka.

Apalah ertinya jika saya dapat rumah sewa, tapi saya tinggal seorang, begitu juga sebaliknya?

Kerana persahabatan adalah lebih dari keturunan dan kepercayaan, yang penting adalah saling menghormati.

Saya sering mendengar retorik politik seperti 1 Malaysia atau “anak Melayu anak saya, anak Cina anak saya” tapi saya tidak pernah melihat masyarakat sebenar mengikut seperti apa yang ahli politik katakan.

Antara kita, seolah-olah ada satu jurang yang memisahkan kita ― dan kata-kata bersifat cliche dan stereotype seperti “babi” dan “malas, kerja makan subsidi” sering menyebabkan kebencian itu menjadi makin menebal.

Saya dan John tidak ada nilai ini.

Saya melihat diri saya sebagai human first, Malaysian second.

Mungkin langkah terbaik untuk pembentukan bangsa Malaysia seperti yang tercatat dalam Wawasan 2020 ialah menghapuskan perkataan “bangsa” itu sendiri di dalam kad pengenalan atau borang untuk membuka bank.

Atau borang mendaftar sekolah.

Lagi lapan tahun sebelum 2020 ― keadaan masih lagi begini.

Sampai bila nak hidup dalam retorik.

Dan kepada orang-orang yang seperti kami ― yang tidak kisah atas perbezaan kaum, agama, orientasi seksual ataupun apa-apa sahaja yang membezakan, dan mempunyai rumah untuk disewakan ― tolonglah, kami merayu untuk mendapatkan sedikit ruang untuk persahabatan kami.

Mungkin kami berdua tidak akan dapat mengubah keseluruhan dunia dan negara yang penuh dengan sentimen rasisme dan ekstremis agama, tapi sekurang-kurangnya, ada juga ruang untuk kami berteduh dari hujan, untuk kami nyenyak tidur, dan untuk kami tinggal bersama ― dengan seorang sahabat sejati, buat seketika apabila masih terlintas di dunia ini.

* Nomy Nozwir seorang pemberita The Malaysian Insider.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis. The Malaysian Insider tidak semestinya bersetuju dengan pandangan ini melainkan dinyatakan secara spesifik.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments