Saya membaca dengan penuh minat mimpi Wong Chin Huat yang diterbitkan The Malaysian Insider.
Beberapa persoalan yang ditimbulkan mimpi beliau ini. Antaranya:
- Ta'zir.
- Kelayakan bukan Islam memberi keterangan.
- Penggunaan bantuan DNA, cap jari, CCTV dalam pembuktian.
Selepas membaca berkali-kali, saya tidak dapat bersetuju dengan kesimpulan yang cuba disampaikan IO yang melawat mimpi saudara Chin Huat. Undang-undang jenayah Islam bukan sekadar hudud sahaja. Ada lagi qisas dan yang paling besar dan luas, ta'zir.
Ini diakui Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 (selepas ini saya akan gunakan terma Kanun Jenayah) di bawah seksyen 4 yang membahagikan kesalahan-kesalahan kepada tiga bahagian, iaitu hudud, qisas dan juga ta’zir. Dengan erti kata lain, Kanun Jenayah ini merangkumi ketiga-tiga cabang ini, dan bukan eksklusif kepada hudud sahaja, sebagaimana difahami sesetengah anggota masyarakat.
Di dalam mimpi Chin Huat dinyatakan, sekiranya tidak mencukupi nasab, akan dihukum dengan ta'zir yang lebih ringan. Ini tidak tepat sepenuhnya. Ta'zir sebagai alternatif kepada hudud bukanlah bermakna kesalahan itu akan dihukum dengan lebih ringan. Ada pakar perundangan Islam, contohnya mereka yang bermazhab Maliki, yang memberi ruang dan kuasa budibicara kepada hakim untuk mengenakan hukuman yang lebih berat berbanding hudud [1].
Pemahaman mengenai fungsi ta'zir sebagai pelengkap kepada hudud ini sangat penting. Tanpa memahami dan mengetahui akan kewujudan ta'zir ini bakal menyebabkan kita membuat kesimpulan, undang-undang jenayah Islam terbatas dan tidak menyeluruh. Ini sudah tentu jauh terpesong dari kebenaran.
Hudud hanyalah bagi kesalahan-kesalahan tertentu yang sudah ditetapkan hukumannya di dalam Al-Quran dan Hadis. Ia tidak boleh ditambah-tambah sesuka hati. Hudud bolehlah dikira sebagai undang-undang yang spesifik. Umat Islam percaya, hudud, sebagaimana solat, adalah perkara yang ditetapkan. Disebabkan kerana hudud hanya merangkumi jenayah yang sedikit, sudah tentu tidak masuk akal jika hanya hudud yang ada untuk mencegah jenayah di dalam Islam. Kerana itulah, ta’zir wujud bagi mengisi ruang kekosongan yang ditinggalkan hudud.
Isu mengenai kelayakan bukan Islam (dan juga wanita) memberi bukti serta keterangan berbentuk syahadah adalah isu yang panjang perbahasannya. DUN Kelantan memilih pandangan yang menghalang (atau tidak mengiktiraf) bukan Islam (dan juga wanita) dari memberi syahadah sahaja, bukannya menghalang secara in total.
Apa itu syahadah?
Syahadah adalah salah satu cara membuktikan sesuatu perkara dengan mengungkapkan "asyhadu", atau "aku bersaksi". Ia adalah satu cara pembuktian yang unik dan memiliki beban pemberat (weightage) yang sangat tinggi. Mungkin ijtihad DUN Kelantan dalam memilih pendapat ini boleh dikritik dan dibahaskan lagi. Namun begitu untuk membuat kesimpulan, syahadah adalah satu-satunya cara untuk membuktikan satu-satu kesalahan, adalah jauh terpesong dari kebenaran.
Seksyen 39 (2) Kanun Jenayah ini memperuntukkan, dalam keadaan di mana tidak dinyatakan syarat-syarat penerimaan keterangan, maka Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 2002 akan digunapakai. Manakala subseksyen (3) pula memperuntukkan, hanya kesalahan hudud dan qisas di bawah Kanun Jenayah ini sahaja yang perlu dibuktikan dengan iqrar (pengakuan) atau syahadah saksi yang adil. Dengan erti kata lain, bagi kesalahan ta’zir, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah akan digunapakai dan menurut Seksyen 3 Enakmen ini, keterangan adalah termasuk juga syahadah dan bayyinah. Di bawah seksyen yang sama, bayyinah juga termasuk qarinah (circumstantial evidence) manakala Seksyen 83 (2) memberi hak kepada bukan Islam untuk memberi keterangan bayyinah di dalam perbicaraan.
Bayyinah, sebagaimana syahadah, adalah cara untuk membuktikan sesuatu perkara. Bezanya adalah pada pemberatnya memandangkan bagi syahadah, syarat untuk melayakkan seseorang memberikan syahadah adalah sangat ketat. Namun begitu bukanlah bermakna bayyinah itu ditolak langsung. Ia masih tetap akan dinilai hakim yang bersidang dan diberikan pemberat yang sewajarnya.
Maka harus difahami, selain syahadah, bayyinah juga diterima sebagai salah satu cara membuktikan sesuatu perkara dan bayyinah, tidak terhad atau terbatas kepada syarat yang ketat sebagaimana syahadah. Bayyinah boleh diterima dalam pelbagai skop. Bahkan bukti dari bukan Islam, wanita, CCTV, cap jari juga boleh diterima sebagai bayyinah.
Seksyen 3 Enakmen 2002 itu juga menerima dokumen sebagai bukti yang merangkumi: "Dokumen" ertinya apa-apa hal yang dinyatakan, diperihalkan, atau bagaimana jua pun digambarkan, atas apa-apa benda, bahan, barang atau artikel, termasuklah apa-apa hal yang terkandung dalam cakera, pita, filem, runut bunyi atau apa jua pun peranti lain, dengan menggunakan:
(a) huruf, angka, tanda, simbol, isyarat, lambang, atau apa jua pun bentuk pernyataan, perihalan, atau gambaran lain;
(b) apa-apa rakaman visual (sama ada imej kaku atau bergerak);
(c) apa-apa rakaman bunyi; atau apa-apa jua pun rakaman elektronik, magnetik atau rakaman lain dan walau bagaimana jua pun dibuat, atau apa-apa bunyi, dedenyut elektronik, atau apa jua pun data lain;
(d) suatu rakaman; atau pemancaran, dari suatu jarak, apa-apa hal dengan mana-mana, atau apa-apa kombinasi, cara yang disebut dalam perenggan (a), (b) atau (c),
atau dengan lebih daripada satu cara yang disebut dalam perenggan (a), (b), (c) dan (d), yang dimaksudkan untuk digunakan atau yang mungkin digunakan bagi tujuan menyatakan, memperihalkan, atau dengan apa jua cara sekalipun menggambarkan, hal itu;
Sebagaimana dinyatakan sebelum ini, pemahaman tentang bayyinah dan syahadah sangat penting bagi mengelak kita dari membuat kesimpulan, undang-undang jenayah Islam hanya menerima syahadah sebagai cara membuktikan kesalahan. Ini sudah tentu jauh terpesong dari kebenaran.
Malahan, apa ertinya apabila sesuatu kesalahan tidak dapat dibuktikan ke tahap yang dituntut hudud (beyond any shadow of doubt, lebih tinggi dari melangkaui keraguan munasabah yang dikenakan undang-undang jenayah sivil)? Adakah kes itu akan dilupuskan begitu sahaja dan penjenayah bakal bebas?
Sudah tentu tidak!
Seksyen 47 Enakmen ini memperuntukkan:
Apabila seseorang tertuduh itu tidak boleh dihukum dengan hukuman hudud ... kerana keterangan yang ada tidak memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki untuk membuktikan kesalahan hudud, maka tertuduh bolehlah dihukum dengan hukuman ta'zir yang difikirkan patut mahkamah; dan mahkamah hendaklah mengambil tindakan untuk menjatuhkan hukuman itu sekiranya ada keterangan yang cukup bagi maksud itu.
Sekali lagi, pemahaman tentang ta'zir itu penting. Ta'zir tidak memerlukan beban pembuktian seketat hudud. Ta'zir, adalah mengikut aturan yang ditetapkan negara atau hakim (badan kehakiman). Boleh jadi bebannya hanya sekadar melangkaui keraguan munasabah, sebagaimana yang diamalkan dalam undang-undang jenayah sivil. Jadi walaupun ia tidak boleh dihukum dan disabitkan atas kesalahan hudud, bukan bermakna bebas. Tapi ta'zir akan digunakan. Pendakwaan sudah tentu menggunakan kebijaksanaan mereka untuk meminda pertuduhan, satu amalan yang dibenarkan undang-undang jenayah sivil.
Jika Chin Huat arif tentang bagaimana pendakwaan di bawah sistem jenayah sivil berlaku, sudah pasti beliau maklum, pegawai penyiasat (IO) adalah pihak yang bertanggungjawab menasihati pihak pendakwaan samada dakwaan boleh dibuat ke atas orang yang disyaki.
Sebagai IO, tugas merekalah untuk menyiasat samada terdapat bukti yang munasabah dan saksi yang cukup untuk mendakwa yang disyaki berkenaan dan saya percaya sekiranya Kanun Jenayah ini berjalan, IOlah yang akan menasihat pendakwaan samada kes ini akan dibicarakan di bawah hudud, atau terpaksa dibicarakan menurut ta’zir.
Kesimpulannya, Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 negeri Kelantan bukanlah satu undang-undang yang sempurna serta muktamad tanpa sebarang ruang untuk kritikan. Namun begitu, kritikan yang dilontarkan haruslah munasabah agar ruang perbahasan itu kekal segar dan hidup.
Saya mendoakan agar Chin Huat bermimpi lagi malam ini. Tapi semoga IO yang bertugas untuk syif malam ini adalah IO yang arif dan maklum tentang kandungan Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 Kelantan. – 24 Mac, 2015.
* Penulis merupakan peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments