Umum sedia maklum tentang serbuan, rampasan dan penahanan yang berlaku ke atas Rumah Api pada malam 28 Ogos 2015 yang lalu, tepat sehari sebelum Bersih. Media tempatan dan antarabangsa memberi liputan.
Setakat ini, penjelasan yang diterima umum adalah serbuan itu kerana tajuk gig "Party Tonight, Revolution Tomorrow" yang dikaitkan dengan Bersih 4. Namun, secara peribadi, ada beberapa kecelaruan yang boleh dipersoal tentang motif serbuan itu.
Serbuan pada pukul 11.18 malam itu bukan serbuan biasa. Bukan seperti serbuan narkotik biasa ke atas kelab-kelab malam atau rumah-rumah urut. Polis lengkap memakai balaclava. Serbuan dilakukan ketika band Virgina On Duty sedang beraksi di pentas. Semua yang berada di kawasan sekitar (luar dan dalam) premis diminta untuk masuk ke dalam.
Kami diminta duduk dan menyerahkan kad pengenalan masing-masing. Ketika aku bertanya adakah kami ditahan, pihak polis menyatakan kami ditahan dan mereka terus menggeledah Rumah Api.
Kami seterusnya disumbat ke dalam blackmaria dan dibawa ke IPD Ampang Jaya. Kemudian semua tahanan dikumpulkan dan diperiksa air kencing untuk saringan narkotik. Keadaan sangat kelam kabut pada ketika itu. Jumlah tangkapan belum pasti, polis masih mengira dalam masa yang sama tahanan disuruh ke kanan dan ke kiri.
Arahan datang dari ramai pegawai, yang semua bersungguh-sungguh untuk kelihatan penting. Dalam masa sama hanya ada satu tandas yang diperuntukkan (dua jamban) untuk lebih dari seratus orang kencing. Bau hancing satu balai polis. Pukul 3.00 pagi pihak polis mendapati ujian negatif tetapi kami diletakkan semula di sebuah tempat meletak kenderaan polis dengan dikelilingi pita garisan polis.
Pada ketika ini aku bertanya sekali lagi adakah kami ditahan. Polis menyatakan kami ditahan bukan kerana masalah narkotik tetapi atas arahan dari Bukit Aman. Pada ketika itu, seorang demi seorang secara berkumpulan diminta untuk memberi keterangan kepada pihak polis cawangan khas.
Proses memberi keterangan ini berlangsung sehingga pukul 9.00 pagi Sabtu dengan kawasan yang diletakkan dikawal hampir 50 orang polis beruniform. Setelah memberikan kerjasama, nama kami dipanggil seorang demi seorang dan diasingkan. Kami dibawa semula ke pekarangan utama balai polis untuk dihadapkan kepada magistrate.
Ketika ini kelihatan peguam-peguam mula masuk ke dalam perkarangan IPD Ampang Jaya. Antara peguam yang hadir pada ketika itu adalah Haijan Omar, Lingswaran Singh dan Kar Fai. Pihak peguam kelihatan begitu komited ketika berhujah tetapi magistrate dengan angkuh memutusan kami perlu disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Hiburan, Seksyen 41 (b) Akta Hasutan dan Kanun keseksaan 143 perhimpunan haram dan ditahan reman bermula dari 28 Ogos sehingga 31 Ogos 2015. Kesemua yang hadir di kawasan Rumah Api pada malam 28 Ogos 2015 ditahan reman dan dilokap sehingga 31 Ogos 2015 kecuali band Blind Tribe, isteri, kawan mereka dan Tom dari The Bollocks yang dibebaskan. Tidak pasti kenapa. Aku ditahan bersama tunang kesayangan, tapi aku tak ingin bernostalgia dan bercerita tentang pangalaman lokap.
Aku pasti ia tak jauh beza dengan mana-mana cerita mereka yang pernah menghuni mana-mana lokap di Malaysia. Dan temanya cuma satu; penindasan yang dilakukan ke atas tahanan. Sejak dari awal ditahan sehingga ke dalam lokap dan keluar dan sehingga ke hari ini aku sangat yakin tahanan Rumah Api 28 Ogos 2015 adalah penahanan bermotifkan politik.
Tahanan ini bukan untuk tujuan lain. Kita dapat melihat motif penahanan ini dengan jelas kerana kami disiasat di bawah Akta Hasutan. Semua orang tahu akta ini adalah sebuah akta yang dibuat penjajah British pada tahun 1948 untuk menindas rakyat di negara ini. Yang lebih meyakinkan aku kerana berdasarkan pengalaman teman-teman yang disoal pegawai penyiasat yang sempat aku kutip, ternyata soalan yang ditanya berlegar-legar dengan soalan politik tentang perhimpuan aman Bersih 4 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 28 dan 29 Ogos 2015. Berulang kali soalan tentang Bersih 4 ini ditanya kepada kami. Aku sendiri dengan tangan yang digari berkali-kali ditanya sama ada mengenali individu-individu tertentu yang aktif dalam Bersih 4. Gig yang dianjurkan Rumah Api pada 28 Ogos 2015 itu bukanlah sebahagian acara rasmi untuk program perhimpunan aman Bersih 4 tetapi apa bukanlah juga satu jenayah jikasekiranya ada diantara kami yang hadir ke gig itu menyokong tuntutan Bersih 4.
Secara peribadi, aku sendiri menyokong kepada pilihan raya yang adil, kerajaan yang bersih, hak membantah, kukuhkan demokrasi parlimen, selamatkan ekonomi Malaysia dan dalam masa yang kebebasan media. Penahanan Rumah Api pada 28.08.15 boleh dilihat sebagai strategi pemerintah untuk mewujudkan suasana ketakutan kepada rakyat Malaysia untuk menyertai perhimpunan aman pada keesokan paginya.
Dengan adanya tangkapan awal, suasana takut mula timbul di kalangan rakyat. Ia juga boleh dilihat sebagai satu amaran supaya rakyat tidak keluar menyokong perhimpunan Bersih 4, Namun strategi ini dapat diatasi dengan pemahaman dan semangat yang kuat dari rakyat Malaysia. Buktinya, beratus ribu rakyat Malaysia masih berani untuk keluar menyatakan pandangan politik mereka mengikut undang-undang secara aman.
Aku menilai penahanan yang dikenakan ke atas kami ini adalah sebagai satu tindakan kerakusan kuasa pihak pemerintah. Mereka seolah-olah boleh melakukan apa sahaja tindakan terhadap rakyat yang berbeza pandangan dari mereka. Tindakan yang diambil pemerintah ini sama seperti menafikan hak rakyat di negara ini untuk membuat pilihan menikmati hiburan yang diminati. Pemerintah seperti hilang arah untuk menangkap musuh yang sebenar.
Sepatutnya pihak pemerintah perlu fokus untuk menangkap musuh yang sebenar bukan menangkap rakyat Malaysia yang tidak melakukan kesalahan. Tujuan aku ke acara di Rumah Api adalah kerana aku merayakan kepelbagaian idea positif di kalangan rakyat Malaysia. Aku sendiri sebagai penggiat teater yang meminati sejarah dan kebudayaan menghormati Rumah Api sebagai satu ruang untuk mengekspresikan pendapat dan bakat khususnya di kalangan anak muda di Malaysia.
Aku juga mengkagumi peranan Rumah Api sebagai ruang untuk anak-anak muda melakukan aktiviti kemanusiaan dan kemasyarakatan ke arah kebaikan. Penampilan fizikal dan persembahan muzik Rumah Api yang sememangnya ketara kelainannya dari apa yang kita lihat di persembahan arus perdana atau persembahan di televisyen bukanlah sebagai ancaman apatah lagi sebagai jenayah. Serbuan, rampasan dan tahanan terhadap Rumah Api secara tidak langsung adalah satu penghinaan terhadap demokrasi di negara kita.
Sebagai sebuah negara yang dijaga perlembagaan, perkara begini tidak sepatutnya berlaku. Barang-barang yang dirampas sepatutnya dipulangkan kembali kerana ia bukanlah senjata merbahaya. Peristiwa barangan muzik yang dirampas dan tidak dipulangkan semula bukan satu perkara baru. Seperti yang terjadi kepada kumpulan BangsArt, rampasan barangan Rumah Api yang tidak merbahaya dan tidak dipulangkan menunjukkan keangkuhan penguasa terhadap rakyat.
Pada ketika ini semua 113 tahanan Rumah Api dibebaskan. Semuanya pulang kepada keluarga dan kawan masing-masing. Penindasan yang kami lalui sudah pasti kami ikat menjadi pengalaman bersama. Kita wajar memberikan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam memastikan semua tahanan Rumah Api selamat dan Bebas. Semua barisan peguam dan kehadiran serta sokongan Dato Ambiga Sreenevasan di IPD Ampang Jaya pada hari pembebasan kami pada ulang tahun Hari Kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 2015 amat bermakna. Walaubagaimanapun, pembebasan ini tidak berharga sekiranya Akta Hasutan masih wujud dan digunakan.
Kes serbuan Rumah Api adalah kes klasik melibatkan 'ruang awam'. Dan boleh saja ia menjadi 'picu' untuk membangkitkan semula persoalan-persoalan asas tentang kuasa polis, hak rakyat sebagai warganegara, SOP polis dalam melaksanakan tugas, penindasan terhadap tahanan dan sebagainya.
Sehingga hari ini, persoalan-persoalan seumpama ini masih terus menghantui masyarakat umum di Malaysia. Kolektif alternatif MAXIMUM ROCKNROLL antara yang turut melaporkan kes sebuan ini. Bukan calang. Sebagai peminat aku setidaknya ingin melihat sebuah perbincangan kritis tentang serbuan ini, yang setakat tulisan ini ditulis belum ada lagi hal seumpama itu.
Adakah Rumah Api akan berdiam diri ketika hak mereka dirampas pemerintah? Atau mungkin Rumah Api sudah hilang percaya sepenuhnya pada media massa yang satu masa dulu pernah memomokkan gaya hidup dan musik mereka, yang sehingga hari ini masih menjadi tanggapan masyarakat kebanyakan? Sebagai peminat, aku ingin melihat lagu-lagu penentangan terhadap penindasan diterjemahkan dalam tindakan.
Aku ingin melihat Rumah Api tuntut semula ruang - Reclaim The Space. Kepada masyarakat umum mereka boleh bertanya sekiranya operasi yang dilakukan pihak polis tempoh untuk mencari kesalahan narkotik, kenapa hanya Rumah Api sahaja yang diserbu, kenapa tidak menyerbu pusat hiburan yang lain yang kita sedia maklum?
Apakah pusat hiburan yang elite di Kuala Lumpur ini terbukti bebas dari penyalahgunaan dadah? Kepada parti politik dan NGO, adakah kes Rumah Api adalah kes pencabulan hak rakyat Malaysia atau tidak dan golongan yang paling penting dan khusus adalah mereka yang mengunjungi Rumah Api, punk, Skinhead, HardCore dan semua yang bersemangat bersolidariti tak henti-henti bersama dengan serbuan, rampasan dan tahanan Rumah Api, apakah kita hanya mahu bersolidariti di internet atau lawan? – 4 September, 2015.
* Penulis merupakan aktivis teater/tahanan Rumah Api.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments