Rencana

Terima hakikat kelemahan SJKT – VK Ezhilarasi

Saya berpeluang membaca esei "Persoalan kempen SJKT Pilihan Kita" di The Malaysian Insider pada 12 Januari 2016 dan "Isu SJKT dan masalah kamar gema" pada 19 Januari 2016.

Saya juga meneliti serangan dalam akhbar Tamil Nesan dan Malaysia Nanban serta media sosial yang memanipulasi dan memutar belit kandungan sebenar esei tulisan Uthaya Sankar SB.

Sebagai seorang pesara guru yang berpengalaman mengajar selama 26 tahun di 7 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), saya mendapati 10 persoalan atau isu yang dikemukakan Uthaya amat berasas dan perlu diberi perhatian serius.

Berdasarkan pengalaman sendiri dan pengalaman diceritakan rakan-rakan yang mengajar di pelbagai SJKT, kes murid meniru dalam ujian memang berlaku.

Walaupun tidak banyak kes meniru, selepas didedahkan di The Malaysian Insider, pihak terbabit sepatutnya berusaha menangani isu itu. Bukan cuba menafikan dan melakukan serangan peribadi terhadap penulis berkenaan.

Di SJKT, murid belajar semua mata pelajaran (kecuali bahasa Malaysia dan Inggeris) dalam Tamil.

Apabila melangkah ke sekolah menengah, ramai menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri kerana semua mata pelajaran menggunakan bahasa Malaysia.Ini juga suatu realiti yang perlu diakui.

Seperti dilaporkan akhbar Utusan Malaysia pada 15 Februari 2014, “bila kita memasuki sekolah menengah, kita perlu mengikuti pelajaran dalam bahasa Malaysia. Proses asimilasi antara kumpulan masyarakat yang berbeza juga akan menjadi lebih mudah kalau kita fasih dalam bahasa Malaysia.”

Maka, saya hairan membaca laporan akhbar Tamil di mana peneraju dan penyokong kempen “SJKT Pilihan Kita” menolak bulat-bulat segala pendedahan Uthaya sedangkan kesemuanya memang berlaku di depan mata.

Selain daripada pengalaman mengajar 26 tahun di SJKT, 3 anak saya juga belajar di SJKT. Rakan-rakan saya menghantar anak mereka ke SJKT. Maka, saya melihat sendiri apa yang berlaku di sekolah Tamil.

Isu mengenai peneraju kempen “SJKT Pilihan Kita” daripada kalangan guru besar dan guru SJKT, serta politikus kaum India sendiri tidak menghantar anak mereka ke sekolah Tamil adalah suatu perkara yang diketahui umum.

Akhbar Malaysia Nanban pada 24 Januari 2016 menyiarkan kenyataan yang dipertua PIBG sebuah SJKT di Chaah, Johor mempersoalkan hal ini.

Anehnya, pada 14 Januari 2016, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan dilaporkan berkata, tiada satu pun kes seperti didedahkan Uthaya berlaku di SJKT.

Tiga anak saya pernah belajar di SJKT dan saya mengalami sendiri kesukaran mendapatkan buku rujukan dalam Bahasa Tamil. Masalah ini masih berlarutan sehingga kini.

Maka, saya memahami jika ramai guru besar, guru, ahli politik dan golongan profesional tidak menjadikan SJKT sebagai pilihan. Hal ini kerana mereka tidak mahu anak tertinggal dalam arus pendidikan.

Memang guru besar dan guru SJKT amat berdedikasi dan berusaha gigih memberikan semua yang terbaik kepada murid. Ibu bapa dari latar sosio-ekonomi rendah amat mengharapkan bantuan SJKT.

Malangnya, ketiadaan ‘support system’ atau sistem sokongan daripada pelbagai pihak menjadikan SJKT terus terkebelakang dari aspek kemudahan, bahan rujukan, penguasaan bahasa Malaysia dan persediaan apabila pergi ke sekolah menengah.

Sentimen yang selalu digunakan, kononnya bahasa Tamil akan pupus jika tiada SJKT. Anak bongsu saya belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tetapi fasih bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil.

Pengetahuan dan penghayatan budaya India dan ajaran Hindu juga masih menebal dalam diri anak saya. Semua ini berbalik kepada didikan ibu bapa sejak kecil.

Ada juga kes semasa murid SJKT berada di Tahun 4 atau 5, ibu bapa memindahkan ke sekolah kebangsaan (SK). Biasanya murid itu lemah dalam bahasa Malaysia dan Inggeris.

Apabila ditukar ke SK, murid itu dapat juga meningkatkan penguasaan bahasa dan terlepas daripada terpaksa memasuki kelas peralihan selama setahun apabila ke sekolah menengah.

Kaum India di Malaysia tidak harus berfikiran sempit dan hanya memperjuangkan penguasaan bahasa Tamil sahaja. Sebaliknya perlu berjuang melahirkan anak bangsa yang fasih bahasa Malaysia, mahir bahasa Inggeris dan tahu bahasa Tamil.

Saya tidak meminta SJKT dimansuhkan. Sebaliknya, kekurangan yang didedahkan Uthaya dalam eseinya perlu dibahaskan secara positif demi membaiki kelemahan.

Kempen “SJKT Pilihan Kita” tidak akan berjaya sepenuhnya selagi pelbagai kelemahan yang wujud tidak berusaha diatasi. Janganlah kita jadi seperti ayam yang berkokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi.

Kebenaran (truth) akan sentiasa menang. Janganlah kerana ego dan mahu menutup kelemahan di SJKT, orang yang mengkritik dilabel sebagai “pengkhianat”.

Jika kita terus hidup dalam sindrom denial atau penafian, akhirnya anak kaum India sendiri menjadi mangsa. – 25 Januari, 2016.    

* Penulis adalah pesara guru dan pembaca The Malaysian Insider.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments