Begitu istimewanya wanita apabila dunia mengiktirafnya dengan meraikan "Hari Wanita Sedunia" saban tahun bagi menghargai dan juga memperjuangkan kemuliaan dan keunikan mereka.
Namun bukanlah hari wanita ini menjadi satu ukuran utama kemuliaan wanita bahkan ia lebih sekadar hari itu.
Hari ini, wanita semakin menempa nama dan kejayaan dalam pelbagai bidang. Tidak lagi wanita dikaitkan dengan simbol kelemahan bahkan wanita memonopoli sebahagian besar daripada golongan berpendidikan tinggi juga memegang jawatan penting dalam sektor awam mahupun korporat.
Malahan mereka memenuhi antara 53.6% sektor pekerjaan di Malaysia.
Hari ini, kecantikan wanita tidak lagi diukur daripada aspek fizikal bahkan wanita begitu dihargai daripada kecantikan dalaman dan potensi diri mereka dalam menyumbang kepada keluarga, bangsa dan seterusnya negara.
Hari ini, suara wanita tidak lagi hanya sekadar di rumah dan sekadar mendidik anak-anak, namun suara wanita mempunyai impak besar dalam mengubah keputusan dan dasar negara.
Selari dengan perkembangan negara, begitu jugalah perkembangan aktivisme dan sumbangan wanita hari ini.
Situasi-situasi inilah sebenarnya memperlihatkan wanita sebenarnya tidak lari daripada “360˚ leadership” yang mana sememangnya wanita terlibat dalam kepimpinan sama ada berjawatan secara rasmi atau tidak.
Dan Allah SWT juga menggariskan perihal kepimpinan di dalam firmanNya,
"Dan kami jadikan di antara pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami selama mereka sabar" (Surah As-sajadah: 24)
Maka dengan ayat ini menunjukkan betapa setiap yang menyampaikan perintah Allah dengan sabar maka dialah pemimpin. Begitulah halnya wanita kini bertindak sebagai pemimpin anak-anak, keluarga, organisasi dan juga dalam kerjaya.
Kepimpinan terpimpin
Ya, kepimpinan bukanlah terletak pada gender. Islam sebagai agama rahmah buat semua juga sangat menggalakkan kepimpinan dikuasai oleh semua golongan tidak kira gender hatta kisah kepimpinan wanita oleh Ratu Balqis diceritakan dalam al-Quran.
Begitu juga perihalnya hari ini, wanita memimpin perlu dipimpin agar prinsip-prinsip suci bertepatan dengan al-Quran dan sunnah sentiasa terpelihara.
Hari ini, ramai wanita berjaya ke depan dengan membawa mesej dan imej Islam.
Nama-nama besar seperti Ibtihaj Muhammad (atlet lawan pedang), Prof. Jackie Ying (saintis Muslim ulung) juga tokoh-tokoh wanita Malaysia seperti Datuk Prof Dr Asma Ismail yang merupakan ketua pengarah pendidikan tinggi dan lain-lainnya dilihat satu imej yang sangat baik apabila mampu membawa mesej wanita Muslim dan dalam masa yang sama mampu terkehadapan dalam bidang-bidang diceburi.
Kata-kata “didik wanita maka terdidiklah dunia” bukanlah sesuatu yang boleh dipandang secara kasar sahaja malahan perlu diperhalusi daripada segenap aspek.
Kaum wanita yang dikatakan merupakan separuh daripada penduduk dunia lantaran merangkumi setengah daripada sumber berpotensi yang mampu memacu prestasi kecemerlangan ini perlu terus-terusan diberi sokongan dan diwujudkan ruang buat mereka.
Inisiatif seperti penubuhan Majlis Penasihat dan Perundingan Wanita, penerusan pemerkasaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, penglibatan aktif dalam perjuangan isu wanita oleh agensi-agensi kerajaan lain, aktivis wanita dan kumpulan-kumpulan NGO serta Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita adalah antara contoh betapa isu-isu kewanitaan semakin menjadi agenda utama negara kini dan juga bertujuan untuk terus mendidik wanita dalam terus memacu kecemerlangan.
Keseimbangan, kesederhanaan kepimpinan wanita
Islam mempersembahkan keseimbangan dan wasatiyah (kesederhanaan) dalam perjuangan kepimpinan wanita Islam.
Wasatiyyah bermakna kesederhanaan, keseimbangan dan tidak melampau. Tindakan melampau adalah musuh kepada mana-mana agama, kerana setiap agama mengajarkan penganutnya mencari ketenangan, membina rukun hidup yang harmoni, saling menghormati dan jauhkan diri daripada perangkap prejudis.
Wasatiyah juga hadir dengan konsep adil dan itqan (bersungguh-sungguh) dalam setiap pekerjaan. Sebagai wanita, amat perlulah untuk bijak meletakkan sesuatu pada tempatnya dan bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.
Wanita yang berjaya pasti mampu mengimbangi tuntutan agama, kerjaya dan keluarga dengan baik dan inilah sebenarnya cabaran utama yang harus dihadapi oleh setiap wanita bermula dari zaman kampus dan seterusnya ke alam kerjaya.
Ayuh wanita kita bersama mendidik diri dan seterusnya mencabar diri untuk pergi lebih jauh dalam apa jua perkara yang sedang kita lakukan.
Bersama kita menguruskan sebaiknya isu “equality” dan ‘equity” agar kita sentiasa selari dengan prinsip Islam dan terus memacu kecemerlangan dan potensi diri demi anak bangsa dan negara.
Akhirnya, semoga kita menjadi pemimpin wanita yang terpimpin serta mempunyai misi dan visi besar dalam membentuk dunia dan seisinya.
"Wahai tuhan kami, anugerahkanlah kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikan kami pemimpin bagi orang-orang bertakwa" Surah Alfurqan : 74
"Wanita, aset berharga negara rahmah", “Siswi, aset berharga kampus harmoni". Selamat Hari Wanita Sedunia 2016! – 8 Mac 2016
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments